Buletin

HYUNDAI i30 FASTBACK N LINE – ALTERNATIF KEPADA i30 N DAN LEBIH JIMAT

Sejak pengenalan model Hyundai i30 N, syarikat pengeluar kereta Korea Selatan itu semakin agresif memasarkan model prestasinya. Ingatkan projek hanya one-off dan tamat setakat i30 sahaja.

Rupa-rupanya ada lagi. Selepas i30, Hyundai mengeluarkan Veloster sebagai model kedua N. Kemudian ada lagi iaitu i30 N Fastback.

Sekarang ini Hyundai mempunyai tiga buah model N. Buat pelanggan yang kurang menggemari model prestasi tersebut, Hyundai menawarkan alternatif lebih mesra pemandu iaitu N Line.

Model N Line pertama kali ditawarkan pada i30 awal tahun ini. Model ini lebih kepada versi R Line untuk Volkswagen.

Terbaru Hyundai memperkenalkan i30 Fastback N Line pula sebagai susulan kepada i30 Fastback N yang dilancarkan sebelum ini.

Varian ini tampil dengan kelengkapan dalaman dan luaran sama seperti i30 Fastback N. Tidak sekadar kosmetik, varian ini turut dilengkapi dengan casis yang diperhalusi dan suspensi talaan khas.

Bamper depan varian ini dikemaskan dengan riasan berwarna perak pada bahagian bawah dan kelongsong lampu utama berwarna hitam.

Bamper belakang pula diambil terus daripada i30 Fastback N dengan garisan merah, lampu kabus tiga segi dan peresap khas. Identiti N Line diserlahkan melalui logo yang diletakkan pada fender depan.

Pada bahagian dalaman pula, varian ini dilengkapi kerusi khas N dan stereng sport. Identiti N lain ialah pada pedal besi dan tombol gear.

Untuk pemanduan lebih menyeronokkan, varian dengan enjin 1.4 liter T-GDI 140 PS ini mempunyai talaan khas pada bahagian suspensi, respon enjin dan bunyi ekzos.

Pemanduan yang seronok ini dibantu oleh tayar Michelin Performance PS4 dipadankan bersama roda aloi 18 inci dan mengujakan apabila dipasangkan dengan cakera brek lebih besar.

Satu lagi perkara menarik ialah i30 Fastback N Line turut ditawarkan dengan satu lagi jenis enjin bersesaran 1.0 liter T-GDI berkuasa 120 PS. Ini adalah enjin paling kecil untuk famili N.

Varian ini dipadankan bersama roda aloi 17 inci dan harus dipuji apabila Hyundai mengekalkan persamaan lain dengan varian 1.4 liter yang lebih berkuasa.

Buat penggemar jenama Korea Selatan, ini adalah suatu yang menggiurkan cuma satu perkara ialah famili N belum lagi dipasarkan di negara kita.

BACA: HYUNDAI ‘N OPTION’ – HYUNDAI DAH MULA BERMAIN AKSESORI ALA JENAMA JEPUN

BACA: HYUNDAI i30 N LINE – YANG INI MACAM VW GOLF R LINE

Google ads
Back to top button