HYUNDAI IONIQ 5 N BERENTAP DI DALAM PIKES PEAK 2024!
Selain mencatatkan rekod di Nürburgring, ada sebuah lagi pentas yang menjadi buruan pengeluar kereta iaitu perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb (PPIHC) di Colorado, Amerika Syarikat.
Perlumbaan itu unik kerana melibatkan pendakian setinggi 4,720 kaki pada jarak 19.99 kilometer (km).
PPIHC juga bersejarah kerana berusia lebih satu abad selepas perlumbaan pertama berlangsung pada 1916.
Terbaru Hyundai mengumumkan bakal berentap di dalam PPIHC 2024 dan menariknya bukan menggunakan i20 N atau jentera N lain tetapi model elektrik IONIQ 5 N!
Dua buah IONIQ 5 N berkuasa 641 kuasa kuda (hp) bakal memburu rekod baharu di dalam kategori Kenderaan Utiliti Sukan (SUV)/Crossover Elektrik Produksi.
Hyundai menghantar empat penyertaan secara keseluruhan. Hyundai bukan asing di dalam PPIHC dan sudah sepuluh kali bersaing sejak 1992 menggunakan Elantra, Tiburon dan Genesis.
Pelumba Hyundai bukan calang-calang iaitu Paul Dallennbach yang telah memenangi 11 PPIHC dan mencatatkan rekod keseluruhan pada 1993.
Seorang lagi ialah pelumba baharu di dalam PPIHC iaitu Ron Zaras dan pernah berkhidmat bersama Hoonigan.
Dua lagi IONIQ 5 N bakal dipandu pelumba rali Hyundai Motorsport, Dani Sordo dan Robin Shute yang telah memenangi empat kejuaraan keseluruhan dan pemegang King of the Mountain Pikes Peak.
Dua buah IONIQ 5 tersebut merupakan versi ubah suai dan akan diperkenal pada penghujung Mei sebelum Perlumbaan 24 Jam Nürburgring.
Susulan proses ujian ketat model standard IONIQ 5 N, hanya beberapa perubahan kecil dibuat bagi mematuhi peraturan perlumbaan.
Di antaranya kerusi pemandu diganti dengan kerusi Recaro Pro Racer SPA Hans dan diikat menggunakan tali pinggang Sabelt enam sudut.
Kerusi belakang ditanggalkan dan seperti biasa rangka keselamatan dan sistem pemadam api dipasang.
Bahagian luar kereta akan menayangkan grafik khas Hyundai N. Boleh dikatakan IONIQ 5 N yang disediakan untuk Pikes Peak adalah model standard.
Spesifikasi IONIQ 5 N:
- Kuasa keseluruhan: 448 kW/601 hp
- Motor depan: 166 kW/223 hp
- Motor belakang: 282 kW/378 hp
- Kuasa N Grin Boost: 478 kW/641 hp
- Motor depan: 175 kW/235hp
- Motor belakang: 303 kW/406 hp
- Kapasiti bateri: 84 kWj
- Kelajuan pengecasan: 238 kW (pengecas DCFC 350 kW)
- Masa pengecasan 10 – 80%: 18 minit
- Pecutan: 0 – 97 km/j: 3.25 saat (N Launch Control, Grin Boost)
- Kelajuan maksimum: 260.7 km/j (dihadkan secara elektronik)
- Tayar: Yokohama Advan V107 275/35R21