Buletin

HYUNDAI IONIQ 6 RANGKUL GELARAN ‘WORLD CAR OF THE YEAR 2023’

Selepas IONIQ 5, kini giliran Hyundai IONIQ 6 pula mencipta sejarah tersendiri dengan merangkul anugerah World Car of the Year, World Electric Vehicle dan World Car Design of the Year.

Penilaian tersebut dibuat oleh 100 wartawan automotif dari 32 negara, di mana ketiga-tiga finalis dalam setiap kategori dilancarkan pada tahun 2022.

“Kami sangat gembira menerima penghormatan berprestij ini dua tahun berturut-turut. Usaha tanpa henti semua orang di Hyundai Motor membawa EV seperti IONIQ 6 ke pasaran,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motor Company, Jaehoon Chang.

IONIQ 6 turut memenangi anugerah berprestij sejak beberapa bulan lalu antaranya ‘Saloon of the Year’, ‘New Car of the Year’ dan mencapai penarafan keselamatan lima bintang oleh NCAP bagi kategori ‘Large Family Car’.

IONIQ 6 ialah model kedua untuk rangkaian EV Hyundai. Model ini dibina berdasarkan platform E-GMP dan didatangkan dalam versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang atau versi motor elektrik berkembar dengan sistem pacuan semua roda.

Ia mampu menjana kuasa maksimum 320Hp dan tork 650Nm dengan jarak gerak 519km. Model itu juga menawarkan sistem 800-volt yang membolehkannya disambungkan kepada pengecas ultra-pantas 350kW.

Rekaan beralun memberikan sedan berkenaan bacaan aerodinamik drag coefficient pada tahap 0.21, kadar penggunaan tenaga 13.9 kWh/100 km, menjadikannya model EV paling aerodinamik serta cekap tenaga yang ada di pasaran ketika ini.

Ditawarkan tiga varian, Dynamiq (RWD), Techniq (AWD) dan Epiq (AWD), Hyundai IONIQ 6 boleh dimiliki pada harga sekitar AS$49,850 (RM218,375) hingga AS$58,960 (RM259,689).

Google ads
Back to top button