Buletin

2,500 UNIT HYUNDAI IONIQ 6 EDISI PERTAMA HABIS DIJUAL DALAM TEMPOH 24 JAM

Pada 9 November lalu, Hyundai telah membuka pra-jualan 2,500 unit Hyundai Ioniq 6 ‘Edisi Pertama’ di pasaran Jerman, UK, Perancis, Norway dan Belanda. Hanya dalam tempoh 24 jam, semua unit itu habis dijual.

Rekod tersebut jelas menunjukkan permintaan yang menggalakkan sejak pertama kali Ioniq 6 diperkenalkan pada Julai.

Menurut Naib Presiden Jualan & Perkhidmatan di Hyundai Motor Europe, Ulrich Mechau, keyakinan ditunjukkan oleh pelanggan terhadap Ioniq 6 adalah disebabkan minat mereka kepada mobiliti sifar emisi selain spesifikasi Ioniq 6 yang padu.

Untuk Edisi Pertama, Hyundai menawarkan reka bentuk luaran dan dalaman yang eksklusif. Ini termasuklah kemasan hitam matte pada rim 20 inci, lambang aluminium hitam ‘H’ pada bampar hadapan dan pintu but belakang, serta tempat duduk gabungan kulit bersama fabrik Grey Tartan.

Ioniq 6 Edisi Pertama mendapat trenkuasa dalam spesifikasi tertinggi yang menggabungkan sistem pacuan semua roda (AWD), motor berkembar dan bateri ‘long-range’ berkapasiti 77.4 kWh.

Ia mampu menjana kuasa maksimum 320hp dan tork 650Nm dengan jarak pemanduan 519km. Model itu juga menggunakan platform E-GMP (Electric Global Modular Platform) dengan sistem 800-volt yang membolehkannya disambungkan kepada pengecas ultra-pantas 350 kW.

Pelanggan di Eropah yang berjaya membuat tempahan awal Hyundai Ioniq 6 Edisi Pertama dijangka menerima EV mereka pada Mac dan April tahun hadapan.

Google ads
Back to top button