Pandu Uji

HYUNDAI IONIQ 6, DENGAN TEKNOLOGI JAMES BOND.

Perkataan Ioniq sebenarnya terhasil daripada gabungan 2 perkataan iaitu Ion dan juga Unique. Ioniq merupakan satu model perniagaan yang mengkhususkan penjualan kereta elektrik jenama Hyundai sepenuhnya berbanding dengan model Hyundai yang turut menjual model hibrid dan enjin pembakaran dalam

Hyundai Ioniq 6 menerima 3 anugerah biarpun baru sahaja dilancarkan pada tahun 2023, iaitu World car of the year 2023, World Car Design of The Year 2023, dan World Electric Vehicle of The Year 2023. Secara keseluruhan rekaan Hyundai Ioniq 6 lebih menarik berbanding dengan Ioniq 5 biarpun kedua dua model menggunakan platform Hyundai E-GMP

Rekaan Hyundai 6 menggunakan acuan rekaan model konsep Hyundai Prophercy iaitu sebuah kereta eletektrik sport. Rekaan Ioniq 6 juga mengetengahkan rekaan parametric pixel design terutama di bahagian lampu depan dan juga rekaan logo Hyundai yang baru dan lebih nipis.

Bampar depan pula menggunakan jeriji bawah lengkap dengan active air curtain, yang akan dibuka dan ditutup mengikut keadaan pemanduan. Dalam keadaan pemanduan perlahan dan penyejukan bateri diperlukan, active air flap ini akan terbuka.

Manakala dalam keadaan dipandu laju, active air flap ini akan ditutup untuk mengurangkan seretan udara. Tombol pintu pula direka secara flush atau tersembunyi dalam pintu dan hanya akan timbul secaraa automatik apabila sistem penggera dimatikan.

Untuk memberikan imej sporti, Hyundai Ioniq 6 dipasang dengan rim bersaiz 20 inci serta dibalut dengan taya Pirelli PZero Elect untuk cengkaman yang bagus dalam keadaan statik dan juga semasa dipandu. Sekiranya anda melihat dari sisi, rekaan Ioniq 6 adalah seperti sport sedan coupe

Ya itulah perkataan yang tepat bagi menggambarkan rekaan keseluruhan Hyundai Ioniq 6 di bahagian belakang. Ia nampak sporti dan juga dengan tambahan spoiler, keseluruhan bahagian belakang nampak seperti sebuah Porsche 911 turbo yang klasik

Rekaan ini diserikan lagi dengan lampu brek ke 3 di belakang yang dipasang pada spoiler belakang. Memang sungguh menarik jika anda melihat kereta ini pada waktu malam. Lampu belakang juga mengetengahkan konsep parametrix pixel light yang memanjang dari kiri ke kanan badan Ioniq 6

Rekaan kokpit dan kabin dalaman Ioniq 6 hampir menyamai rekaan Ioniq 5, kecuali untuk laci simpanan di sebelah kiri hanya pintu sahaja yang boleh dibuka berbanding dengan Ioniq 5 dengan keseluruhan laci boleh ditarik keluar.

Konsol gear tengah juga bersambung terus dengan papan pemuka untuk memberikan imej yang lebih sporti dan terdapat ruang simpanan di bawah konsol gear untuk meletakkan beg. Keseluruhan kabin diberikan dengan warna hitam dan hanya lampu LED di tepi pintu yang akan berubah warna mengikut mod pemanduan

Hyundai juga memastikan semua komponen Ioniq 6 dihasilkan lebih mesra alam dengan karpet di dalam kabin dibuat daripada jaring ikan dikitar semula dan cat yang digunakan untuk bahagian dalam menggunakan cat yang lebih mesra alam

Disebabkan menggunakan platform dedikasi elektrik sepenuhnya, lantai Ioniq 6 adalah rata sepenuhnya dan menghasilkan ruang kaki yang cukup selesa. Terdapat 1 poin plug 3 pin untuk anda memasang atau mengecaj sebarang peralatan elektrik.

Sama seperti kebanyakan sistem audio kenderaan moden, sistem audio menerima sambungan Apple Car Play dan juga Android Auto serta disambungkan dengan 8 pembesar suara dari jenama BOSE. Tapi jika anda ingin mendapatkan kecekapan tenaga yang bagus, anda boleh cuba memasang bunyi alam yang menenangkan jiwa seperti bunyi hujan yang turun atau bunyi air terjun

Lagi manis jika anda terasa tenang jika boleh mendengar bini membebel selepas anda lupa menutup paip air pagi tadi.

Bagi varian Max AWD, Ioniq 6 ini menerima 2 motor elektrik yang menjana sehingga 320 kuasa kuda dan 650Nm tork serta bateri lithium ion polimer 77.4kWh. Bateri ini membolehkan Ioniq 6 dipandu sejauh 519km mengikut bacaan WLTP dan bagi varian Max RWD ia boleh dipandu sejauh 614km dengan bateri yang sama

Platform E-GMP ini merupakan platform dengan rekaan 800 volt berupaya memecut 0-100 dalam masa 5.1 saat dan halaju maksimum dihadkan kepada 185km/jam. Dengan menggunakan OBC sebesar 11kW, bateri ini boleh dicaj dalam masa 7.1 jam sekiranya dicaj dari 0% ke 100%.

Tapi jika dicaj dengan menggunakan pengecasan pantas 50kW, bateri ini memerlukan masa 73 minit untuk dicaj dari 10% ke 80% dan hanya 18 minit sahaja jika menggunakan pengecaj 350kW. Ioniq 6 juga diberikan ciri V2L untuk membekalkan kuasa elektrik pada perkakasan elektrik yang lain sekiranya diperlukan

Hyundai Ioniq 6 menerima suspensi MultiLink di bahagian belakang dan topang McPherson di bahagian depan. Biarpun tidak menerima penyerap hentakan adaptif, tapi rasa dan kualiti pemanduan Ioniq 6 masih dikira berkualiti dan seimbang antara keselesaan dan dinamik pengendalian biarpun beratnya mencecah 2520kg

Salah satu sebab yang menyumbang ialah Ioniq 6 duduk rendah menjadikan pusat gravitinya rendah tidak sama dengan kebanyakan SUV elektrik lain yang duduk tinggi. Keadaan ini juga menjadikan olengan cesi, dan pergerakan cesi ke depan dan belakang tidak dirasai oleh penulis

Anda boleh mengawal kekuatan brek regeneratif dari level 1 ke level 4, yang akan menukar mode pemanduan kepada pemanduan pedal tunggal bagi memkasimakan jarak pemanduan dan meningkatkan kecekapan penukaran tenaga kinetik kepada tenaga elektrik

Ia adalah ciri yang digemari oleh penulis memandangkan anda sukar untuk mengawal elemen lain pada kereta elektrik melainkan brek. Keadaan ini juga meniru dan menjadikan anda memandu kereta dengan enjin petrol yang diberikan paddleshifter.

Terdapat 3 mode pemanduan untuk dipilih samaada Eco, Normal ataupun Sport. Untuk memanjangkan jarak perjalanan, penulis akan menggunakan mode Eco serta digandingkan dengan brek regeneratif level 4. Tapi sesekali, kaki kanan akan gatal untuk merasai pecutan dan 650Nm tork pada 0 RPM yang mengujakan.

Jika anda biasa mengawal dan memandu kereta elektrik, kekuatan tork yang dihasilkan ini menjadikan anda sedikit beringat dengan kawalan stering. Anda tak mahu Ioniq 6 ini menjadi terlalu liar dan terlanggar pemandu lain.

Tapi tayar Pirelli PZero Elect yag digunakan cukup bagus, menyediakan cengakaman maksima sepanjang masa. Tapi jika anda terlalu geram dengan pedal, maka penggunaan tenaga akan meningkat dan mengurangkan jarak perjalanan, isu yang sama jika anda memandu kereta petrol.

Untuk sebuah kereta sedan elektrik, pada pandangan penulis kawalan dinamik dan keselesaan yang ditawarkan oleh Ioniq 6 sangat seimbang serta menjadikan anda tidak bosan untuk memandu. Dalam aspek keselamatan, pakej Hyundai Smart Sense juga patut dipuji.

Sistem amaran titik buta akan menawarkan suapan video terus pada meter digital dan disepadukan dengan sistem brek AEB. Malah sistem Amaran Lintasan Trafik Belakang juga turut menerima brek automatik, menghentikan Ioniq 6 sebelum ia merempuh kenderaan di belakang

Terdapat satu lagi ciri yang menarik iaitu ciri Remote Smart Park Assist. Sekirnya anda perlu memarkir di kawasan sempit, Ioniq 6 boleh diparkir masuk ke petak parkir dengan menggunakan alat kawalan jauh sahaja. Macam cerita James Bond dengan Aston Martin

Antara perkara yang kurang menarik berkenaan dengan Hyundai Ioniq 6 ialah kedudukan suis cermin kuasa yang diletakkan di bahagian tengah iaitu di kedudukan tombol gear. Manakala tombol gear diubah ke steering column, terasa sedikit kekok jika anda baru mula memandu Ioniq 6

Kedudukan stering pula pada setiap masa seolah-olah menghalang penulis untuk mendapatkan bacaan meter digital secara penuh walaupun sudah puas mencuba pelbagai kedudukan. Akhir sekali ialah ruang bagasi yang tidak cukup besar, sekitar 400 liter sahaja manakala ruang depan hanyalah sekitar 14 liter sahaja

Tapi masalah terbesar Hyundai Ioniq 6 bukanlah pada rekaan ataupun ciri lain, tapi disebabkan oleh Tesla Model 3 yang dijual dengan harga RM 189,000 sahaja dan menawarkan jarak perjalanan sehingga 513km, hampir separuh daripada harga Hyundai Ioniq 6

Tapi ini tidak bermakna Hyundai Ioniq 6 adalah kereta yang teruk, cuma harganya yang tidak kompetitif menjadikannya sebagai pilihan terakhir dalam senarai pembelian bakal pembeli. Kenapa anda perlu bayar lebih sedangkan anda ada pilihan yang lebih murah?

Google ads
Back to top button