Buletin

IBU MARAH ANGGOTA POLIS SEBAB ANAK TAK LULUS UJIAN MEMANDU

Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi seorang wanita memarahi seorang pegawai polis kerana anaknya gagal dalam ujian memandu di litar, lapor laman berita Kompas semalam.

Video tersebut dimuat naik dalam akaun TikTok @birulangit153. Kejadian itu berlaku di Sekolah Memandu Pusat Keselamatan Riau (RSDC). 

Wanita itu pada awalnya menghampiri pegawai polis pemantau yang berada berhampiran litar, namun dia diarahkan keluar. 

Selepas mendapati anaknya gagal dalam ujian litar, wanita tersebut memarahi pegawai itu.

Pegawai berkenaan kemudian menegur semula wanita berkenaan sebelum kedua-duanya bertengkar. Wanita itu malah mengugut untuk melaporkan kepada pihak atasan.

“Saya penguji. Hei, anda ke sana! Kami boleh buktikan sejauh mana kemampuan anak anda,” marah pegawai itu dalam nada suara tinggi.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Riau, Nandang Mu’min Wijaya berkata, pelajar itu bersama ibunya telah meminta maaf kepada pegawai tersebut atas tindakan mereka di lokasi kejadian. – Agensi

Google ads
Back to top button