
IBU SANGGUP REDAH 50 KM TUNGGANG MOTOSIKAL HANTAR ANAK DAFTAR USM
Seorang ibu sanggup menunggang motosikal sejauh lebih 50 km semata-mata ingin melihat anak sulungnya mendapat pembelajaran terbaik di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
USM memperkenalkan pendaftaran pandu lalu kepada semua pelajar baharunya bagi sidang akademik 2020-2021 untuk memastikan keselamatan semua pihak termasuk pelajar susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19)
USM turut memperkenalkan MyDaftar iaitu satu sistem pendaftaran dalam talian yang hanya mengambil masa kurang lima saat.
Bagi pelajar baharu USM yang sudah dalam perjalanan ke kampus dibenarkan mendaftar dengan diberikan tiga pilihan utama iaitu dibenarkan mendaftar dan terus mengikut waris pulang ke rumah; mendaftar, meletakkan barangan di asrama dan pulang serta mendaftar dan terus tinggal di asrama.

Jumiati Masud, 53, bersyukur kerana masih boleh membuat pilihan dalam memberikan keselesaan untuk anaknya menimba ilmu pengetahuan dalam suasana yang lebih kondusif, dan merasai suasana menjalani kehidupan baru sebagai mahasiswa universiti.
Dia yang tinggal di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan berkata, semua ibu akan melakukan yang terbaik untuk anak-anaknya.
“Saya hanya ada motosikal sebagai pengangkutan utama kami sekeluarga menjalankan urusan harian.
“Saya pasti, semua ibu akan lakukan yang terbaik untuk anak-anaknya. Biarlah dia belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan wifi atau sebagainya,” katanya.

Sementara itu anaknya, Muhammad Izzulhaq berkata, dia amat terharu dengan pengorbanan ibunya dan berazam belajar bersungguh-sungguh untuk memberikan kesenangan kepada ibunya kelak.
“Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke Simpang Empat, namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya.
“Saya berdoa semoga Allah SWT permudahkan urusan saya untuk menimba ilmu di USM,” katanya.
Muhammad Izzulhaq merupakan pelajar Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan ditempatkan di Desasiswa Restu.
Dia adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021. -sinar harian/usm
- BACA: UM UBAH SUAI BAS BURUK JADI AIRBNB. RAMAI YANG NAK SEWA
- BACA: SANGGUP JALAN KAKI BALIK KAMPUNG DARI SHAH ALAM KE TANAH MERAH. SELAMAT SAMPAI RUMAH MALAM TADI
- BACA: MOTOSIKAL PELAGAK NGERI MELETUP KETIKA PENGGAMBARAN MISSION IMPOSSIBLE
- BACA: KEMBARA YAMAHA NVX DARI KUCHING KE KOTA KINABALU – NVX MEMANG LASAK!