Artikel Pilihan

MITSUBISHI PAJERO DAKAR – MODIFIKASI SANG JUARA

Sama seperti pengeluar kenderaan yang beribu pejabat di Tokyo, Mitsubishi juga mempunyai ruang pameran khas yang menempatkan kedai cenderahati dan sudut khas untuk mendapatkan secawan kopi. Cuma kali ini ruangan tersebut lebih istimewa kerana Mitsubishi baharu sahaja meletakkan sebuah Pajero istimewa yang pernah memenangi perlumbaan Paris-Dakar 2002 untuk tatapan peminat buat sementara waktu.

Kalau sebut pasal perlumbaan rali Paris-Dakar, Mitsubishi memang lejen la. Mana taknya, sewaktu zaman kegemilangan Pajero mereka pernah memenangi perlumbaan ini selama tujuh tahun berturut-turut. Tahun 2002 merupakan kejuaraan kedua untuk mereka dan perlumbaan itu juga mempunyai jarak 9,247 kilometer dari bandar Arras di Perancis ke Madrid dan berakhir di Dakar.

Pasukan juara ini dianggotai oleh Hiroshi Masuoka sebagai pemandu dan Pascal Maimon (bukan makcik Maimon rumah sebelah okey) sebagai penunjuk arah. Tahun tersebut juga menyaksikan Mitsubishi menguasai 9 tempat teratas perlumbaan dan diikuti oleh Toyota.

Model rali ini memang asalnya sama dengan model short-wheel-base generasi ketiga Pajero. Tapi berbeza dengan model standard, Pajero ini menggunakan arca roda dan plat bawah badan yang dihasilkan dari Kevlar. Pintu dan bahagian panel tingkap belakangnya pula dihasilkan dari serat karbon.

Pajero ini dikuasakan enjin 6G74 MIVEC 3.5L DOHC suntikan terus dan ditala khusus mengikut permintaan Masuoka yang mahukan bentangan kuasa dan tork yang lebih meluas sekitar 3,000 hingga 5,000 rpm. Kuasanya pula dihadkan pada 256 hp dan tork maksima 362 Nm.

Berbeza dengan kokpit model standard yang penuh dengan ciri-ciri khusus untuk keselesaan, kokpit Pajero ni kelihatan lebih ringkas dan dipenuhi dengan fius-fius utama yang senang untuk ditukar ganti. Kelihatan juga tombol khusus untuk menukar fuel map (empat tetapan kesemuanya untuk kualiti bahan api yang berbeza sepanjang pelumbaan).

Tekanan udara tayar juga boleh dikawal dari dalam manakala beg air minuman pula dilekatkan terus pada roll cage dan disalurkan dengan paip untuk memudahkan pemandu dan penunjuk arah minum dengan menggunakan tiub sewaktu perlumbaan. Kalau taruk teh o ais pun orait ni. Eh, korang jangan mengada nak tiru teknik ni untuk ponteng puasa. Nanti Abang Japar hantar Pok Ya lempang korang baru tahu.

Satu lagi perkara menarik ialah ia mempunyai penapis udara khusus di bahagian bawah papan pemuka untuk menapis butiran debu halus di padang pasir sekaligus membekalkan udara bersih. Butiran debu ini kemudiannya akan dikeluarkan terus ke luar dan unit ini terpaksa diletakkan di bahagian dalam kabin kerana bahagian enjin sudah terlalu sesak dan padat.

Bahagian tempat duduk belakang dan kargo menempatkan empat tayar gentian bersaiz penuh (ye lah takkanlah nak guna rim kompang kot masa tengah berlumba) selain unit penyejuk khusus untuk transmisi dan differential yang dilekatkan terus ke bahagian bumbung. Ia kemudian disejukkan oleh kekisi angin pada bahagian bumbung. Tangki bahan apinya pula mampu diisi sehingga 500 liter membolehkan Pajero ini berlumba sepanjang hari tanpa henti. 500 liter darab dengan harga petrol Ron 95 semasa bersamaan dengan RM1,205. Pergh, kalah tangki minyak bas ekspres tu.

Pajero Dakar ini telah dibersihkan tetapi tinggalan ataupun parut perlumbaan masih dikekalkan untuk tatapan generasi Tiktok. Ia masih dapat dilihat pada warna bahagian bawah yang berwarna kusam debu dan masih menggunakan tayar-tayar asal yang digunakan dalam perlumbaan terakhirnya.

Inilah bukti usaha dan pembangunan yang dilakukan oleh Mitsubishi sebelum menjadi juara dunia dalam persekitaran yang paling mencabar.

Kredit japanesenostalgiccar dan Mitsubishi Motor untuk foto.

Google ads
Back to top button