
IHI CORPORATION DAN GENTARI HYDROGEN TANDATANGANI MOU, BEKERJASAMA MENGHASILKAN DAN MEMASARKAN AMMONIA HIJAU
IHI Corporation hari ini mengumumkan telah memuktamadkan memorandum persefahaman dengan anak syarikat PETRONAS, Gentari Hydrogen Sdn. Bhd.
Kerjasama tersebut adalah untuk menilai kebolehlaksanaan sumber solar Malaysia dalam menghasilkan dan menjual ammonia hijau yang diperolehi daripada bahan boleh diperbaharui.
Selain itu, IHI dan Gentari turut mempertimbangkan model perniagaan untuk pengeluaran ammonia di Johor iaitu tapak yang sesuai dalam penjanaan tenaga solar. Penghasilan ammonia hijau akan digunakan secara tempatan, selain dieksport ke pasaran Jepun dan Asia.

Dalam kajian ini, IHI akan menjalankan peranan seperti kajian teknikal serta melakukan tinjauan permintaan ammonia di Jepun. Manakala Gentari pula akan mengendalikan penilaian bekalan tenaga boleh diperbaharui dan pelbagai kemudahan di Malaysia.
Selepas menjalankan kajian kebolehlaksanaan sehingga awal tahun 2023, projek ini bertujuan untuk membangunkan kilang pengeluaran ammonia komersial dengan menyasarkan mula beroperasi sebelum 2030.
Tambahan pula, kecekapan teknologi untuk pengeluaran, penyimpanan dan pengangkutan ammonia membolehkannya digunakan di pasaran secepat mungkin.
Melalui penerokaan kebolehlaksanaan ini, IHI dan Gentari menyasarkan untuk memperlihatkan beberapa model aplikasi ammonia dalam Malaysia dan membina rantaian bekalan bahan api ammonia.
IHI dan Gentari juga akan menangani permintaan bahan api bersih pada masa hadapan sekali gus menyumbang kepada kelestarian yang lebih baik.
- BACA: R33 BLUE GASOLINE – ALTERNATIF KEPADA PETROL E10, AUDI TERUS KOMITED CAPAI NEUTRALITI KARBON
- BACA: SHELL MALAYSIA LANCAR MINYAK ENJIN NEUTRAL KARBON PERTAMA DI DUNIA. BERMULA RM280 UNTUK PEK 4 LITER
- BACA: MENARA SOLAR INI BOLEH MENGUBAH AIR, CAHAYA MATAHARI DAN KARBON DIOKSIDA MENJADI KEROSENE
- BACA: ADAKAH PENGGUNAAN EV BOLEH MENGURANGKAN PELEPASAN GAS KARBON DIOKSIDA?

