BuletinMotosikal

INI 8 MOTOSIKAL MASUK MALAYSIA 2024

Tahun 2023 bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi dan bagi kebanyakkan orang ini adalah tempoh untuk menghabiskan baki cuti tahunan ataupun pergi melancong. 

Namun di Mekanika kami berasa teruja kerana ini bermakna pasaran motosikal di Malaysia bakal menerima kehadiran beberapa model baharu bagi tahun 2024. 

Dalam penulisan kali ini, kami mahu berkongsi keterujaan kami bersama pembaca dengan menyenaraikan lapan motosikal yang akan masuk pasaran Malaysia pada 2024.

  1. Suzuki GSX-8R

Suzuki Malaysia dijangka akan memperkenalkan GSX-8R serba baharu untuk pasaran tempatan tahun depan sekaligus sertai GSX-8S dan V-Strom 800 DE yang telah pun diperkenalkan awal tahun ini. 

Meskipun dikuasakan enjin parallel-twin 776cc yang sama namun model ini tampil dengan gaya ‘sportsbike’ dengan kehadiran panel badan yang penuh berbanding ‘naked’ yang ditawarkan GSX-8S. 

Selain menawarkan 81hp dan 78Nm seperti GSX-8S, model ini juga dilengkapi dengan ‘quickshifter’ secara standard. 

  1. Suzuki GSX-S1000GX

Untuk rekod, beberapa media tempatan telah ke Portugal bagi menguji Suzuki GSX-S1000GX ini sekaligus mengesahkan ketibaan model ini pada 2024. 

GSX-S1000GX merupakan solusi Suzuki dalam menyaingi segment ‘sport touring’ yang ketika ini didominasi Kawasaki Versys 1000, Yamaha Tracer 9 GT dan BMW S 1000 XR. 

Menariknya, bagi memastikan model serba baharu ini mencuri perhatian, GSX-S1000GX merupakan model pertama Suzuki yang hadir dengan suspensi elektronik menerusi Suzuki Advanced Electronic Suspension selain dari Suzuki Road Active Stablization dan Suzuki Floating Ride Control. Fungsi ‘quickshifter’ juga didatangkan secara standard. 

Dalam pada itu, GSX-S1000GX ini dikuasakan enjin 4-silinder 999cc K5 yang menawarkan 150hp dan 106Nm. 

  1. Kymco AK550

Kami difahamkan bahawa seramai 70 pemilik Modenas Elegan 250EX telah ke kilang Modenas di Gurun, Kedah bagi menyaksikan skuter maxi tersebut. Ini kerana Modenas merupakan pengedar rasmi jenama Kymco disini.

Kami juga diberitahu skuter maxi itu akan turut dipasarkan di Malaysia pada suku pertama 2024 sekaligus bakal bersaing dengan Yamaha TMAX 560. 

Untuk rekod, AK550 ini dipacu enjin parallel-twin enjin parallel-twinn 550cc dengan 270-degree crank yang menjana 51hp dan 52Nm. Antara ciri ditawarkan termasuk ‘traction control’ dan ‘cruise control’. 

  1. Kymco DTX250

Modenas juga difahamkan akan memperkenalkan sebuah lagi skuter maxi 250cc kali ini menerusi Kymco DTX250. Skuter tersebut turut dipertontonkan kepada beberapa pemilik Modenas Elegan 250EX ketika di Gurun, Kedah.  

Atas kertas, skuter DTX250 ini dipacu enjin satu silinder 250cc yang berupaya menawarkan 23hp dan 23.6Nm. Antara ciri ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, panel meter digital LCD dan soket USB selain tangki berkapasiti 13L.

  1. Modenas Ninja ZX-25RR

Selepas pelancaran Ninja ZX-25R SE awal tahun ini, ketibaan varian tertinggi menerusi ZX-25RR sudah pun dijangka tahun depan. 

Bagaimanapun, perlu ambil maklum bahawa versi ZX-25R SE dan ZX-25RR hanya dibezakan dengan monoshock belakang yang dilengkapi Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion). 

Ini kerana varian sedia ada di Malaysia sudah menerima ciri ekstra berbanding pasaran lain termasuk fork Showa SFF-BP 37mm dan livery yang mirip ZX-25RR. 

Pada masa sama, model RR juga kekal menawarkan sekitar 48hp sama seperti SE. 

  1. Ducati Multistrada V4 RS 

Ducati Malaysia dijangka akan memperkenalkan V4 RS untuk pasaran tahun depan selepas model itu diperkenalkan secara global di Ducati World Premiere 2023 baru-baru ini. 

Untuk rekod, varian RS ini berbeza dengan varian Multistrada V4 sedia ada kerana dikuasakan enjin Desmosedici Stradale 1,103cc yang sama terdapat pada Panigale V4. 

Hasilnya, model ini menawarkan 180hp dan 118Nm dan tampil dengan beberapa ciri premium termasuk STM-EVO SBK ‘dry clutch’ serta komponen gentian karbon. 

  1. Ducati Hypermotard 698

Ducati Hypermotard 698 merupakan jentera ‘supermoto’ satu silinder pertama diperkenalkan Ducati sekaligus bakal menceriakan peminat segmen itu di Malaysia.

Model ini dikuasakan enjin enjin Superquadro Mono 659cc yang diambil dari Superquadro V-Twin 1299 Panigale. Hasilnya, Hypermotard 698 ini merupakan ‘supermoto’ paling berkuasa dalam kelasnya dengan 77.5hp dan 64Nm.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk fork Marzocci ‘fully-adjustable’, kaliper brek Brembo M4 dan Cornering ABS. Fungsi ‘quickshifter’ pula ditawarkan secara standard pada varian RVE. 

  1. MODA Shifter 400X

AMI selaku pengedar rasmi jenama motosikal Suzuki, MV Agusta dan Fantic di Malaysia akan memperkenalkan jenama tempatan baharu menerusi skuter maxi MODA Shifter 400X. 

Model tersebut telah pun dipamerkan kepada umum ketika pusingan MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, November lalu. 

Untuk rekod, skuter tersebut merupakan penjenamaan semula dari Dayang Vorei ADV350 yang dipasarkan di China. Walaupun membawa nama 400X namun skuter ini dikuasakan enjin satu silinder 333cc yang menawarkan 29.1hp dan 33.5Nm dengan kelajuan maksima diletakkan pada 138km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk ABS dwi-saluran, tangki berkapasiti 17.4L. 

Demikian antara model yang dijangka akan dipasarkan di sini pada tahun 2024. Namun begitu, kami jangkakan ada lebih banyak lagi yang akan diperkenalkan selain daripada model yang kami senaraikan diatas. 

Google ads
Back to top button