
NOMBOR PENDAFTARAN NSW1 KINI BERNILAI LEBIH RM31 JUTA – MENIAGA NOMBOR LAGI UNTUNG DARI MENIAGA UNTA
Penyakit bida nombor pendaftaran isitmewa ni bukan hanya menular di Malaysia tapi juga berlaku di negara luar. Nombor pendaftaran NSW1 dari New South Wales, Australia kini bernilai lebih RM31 juta dalam satu lelongan yang diadakan oleh Lloyds Auction House. Lelongan akan berakhir pada 27 Januari depan dan pastinya harga tersebut akan meningkat lebih tinggi.
Nombor pendaftaran 1 dari New South Wales ini tidak pernah ditemui dalam mana-mana lelongan sebelum ini. Ia asalnya dikeluarkan untuk ketua polis pertama New South Wales, Sir Frederick Stewart sekitar tahun 30 an. Dah kira plet vintaj ni. Ia kemudian menjadi milik isteri beliau selepas Stewart meninggal dunia. Kini ia dibuka untuk lelongan selepas isteri beliau juga meninggal dunia pada tahun 2000.
Dari tahun 1920 hingga 1937, kesemua negeri di Australia mula mengeluarkan nombor pendaftaran yang bermula dengan nombor 1 sehingga 274-000. Nombor pendaftaran berbeza dikeluarkan untuk kelas berbeza seperti kereta penumpang, motosikal dan kenderaan komersil. Kebanyakan pengumpul sanggup membayar harga yang tinggi untuk nombor-nombor pendaftaran terawal ini.
NSW1 bakal mencipta rekod baru harga jualan plet negeri tersebut selepas NSW4 berjaya dijual dengan harga USD1.6 juta pada tahun 2017.
Sebelum ini nombor pendaftaran NSW1 untuk motosikal pernah terjual dalam linkungan harga USD500k-USD1 juta. Harga sebenar tidak pernah didedahkan kepada umum.
Bukan pelik sangat bagi Malaysia yang mempunyai ratusan ribu nombor pendaftaran istimewa untuk dijual. Dah jadi macam bisnes pula jual nombor ni.
Untuk rekod antara nombor plet termahal pernah dijual di dunia ialah AA8 dan P7 di Dubai yang berjaya dijual dengan harga USD9.5 juta dan USD 15 juta setiap satu. Nombor plet termahal pula dikatakan milik ‘F1’ yang didaftarkan di Eropah dan dianggarkan bernilai sekitar USD15-19 juta nilai semasa.
Rasanya berbaloi kalau nombor-nombor macam ni dengan harga yang dibayar. Tapi kalau setakat beli nombor entah apa-apa kemudian diandam supaya boleh dibaca macam nama bini, nama kekasih, nama kucing kesayangan dan macam-macam lagi tu baik tak payah. Silap-silap kena buasir sebab asyik terketar terkemut bila nampak roadblock JPJ.



