
INI CONTOH KEJURUTERAAN MALAS, ATAU TAK CUKUP MODAL
Kereta pemanduan sebelah kanan boleh dijual di negara yang memandu di sebelah kiri dengan syarat kereta tersebut melalui proses homologasi ataupun conversion bagi menukar kedudukan pemandu dari sebelah kanan atau kiri.
Bagi negara kita, isu yang sama dihadapi apabila pengeluar daripada Eropah, China atau Amerika ingin menjual kereta mereka dalam negara kita harus menukar kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke sebelah kanan. Kadangkala proses kejuruteraan yang dibuat tersebut tidak siap!
Contoh tidak siap ialah pengeluar hanya menukar kedudukan stering dan pedal dari sebelah kiri ke sebelah kanan tanpa mengambil kira aspek-aspek yang lain. Kami senaraikan semua ciri-ciri tersebut yang kadang kala menjengkelkan pemandu.
1. Glovebox sempit – kalau anda perasan kedudukan glovebox ataupun laci memang berubah dari tempat duduk pemandu ke sebelah kiri. Tetapi ia terlalu semput ataupun mempunyai bentuk yang tak masuk akal atau terlalu dalam. Pendek kata mesti pelik
Keadaan ini disebabkan oleh pengeluar hanya memindahkan sistem stering, tetapi tidak memindahkan kedudukan fius, sistem elektronik atau ECU dari sebelah kanan ke sebelah kiri. Jadi glovebox terpaksa dibuat dengan kecil atau terlalu dalam sehingga sukar untuk digunakan.
2. Suis terlalu jauh dari pemandu – sebagai contoh suis kawalan sistem audio berada di sebelah kiri sehingga pemandu perlu membongkok ke kiri semata-mata untuk mengawal sistem audio jika tiada suis pada roda stering.
3. Sudut pandangan cermin sisi yang salah – bagi negara yang memandu di sebelah kiri, cermin sisi di sebelah kanan direka dengan sudut yang lebih lebar, ke arah luar. Tujuannya ialah untuk meghapuskan masalah titik buta terutama bagi melihat penunggang motosikal atau kenderaan lain di sebelah kanan.
Masalah mulai timbul bila, kedudukan pemandu telah berubah tetapi sudut cermin sisi adalah sama. Akibatnya pemandu yang dipindahkan ke sebelah kanan akan mengalami masalah titik buta yang teruk di sebelah kiri, kerana cermin sisi kiri tidak memiliki sudut yang besar.
4. Tuil di sebelah kiri – ya ada juga pengeluar tidak memindahkan tuil untuk membuka hud enjin di sebelah kiri. Ia bukanlah menjadi masalah besar tetapi, nampak sangat malas nak buat ataupun memang bajet untuk buat conversion sudah habis
5. Suis mematikan fungsi beg udara- pun ada dikekalkan di sebelah kanan. Di negara Kesatuan Eropah, suis ini dipasang bagi mematikan beg udara serta membenarkan penjaga memasang kerusi bayi di bahagian depan. Biasanya ia dipasang di sebelah penumpang. Tetapi ada juga pengeluar yang mengekalkan suis ini disebelah pemandu
6. Brek tangan jauh dari pemandu – Contoh yang lain ialah kedudukan brek tangan masih dikekalkan, untuk negara pemanduan di sebelah kiri dan berada jauh ke kiri dan tidak ditukar ke sebelah kanan. Jika anda menggunakan brek tangan untuk memarkir maka ia bukanlah isu besar. Tetapi jika digunakan untuk aksi drift, kekok juga rasanya
Apa yang kami senaraikan beberapa siri rekaan suis, tuil dan peralatan pemanduan yang dipandang tidak penting oleh pengeluar tetapi sebenarnya mengganggu pemandu. Ia bukanlah isu besar jika anda menggunakan kereta ini setiap hari.