Buletin

MERCEDES-AMG GLA45S 4MATIC+ 2024 TIBA DI PASARAN MALAYSIA – 421HP, HARGA BERMULA RM539K

Selain Mercedes-AMG C 63 S E Performance dan Mercedes-AMG GLB35 4Matic 2024, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ 2024.

Dari segi penggayaan, model ini tiba dengan rekaan apron hadapan baharu bersama logo AMG yang diletakkan pada bahagian bonet selain, dilengkapi lampu Multibeam LED hadapan dan lampu belakang, rim aloi AMG 21-inci, sementara pakej AMG Aerodynamics dan pakej AMG Night didatangkan secara standard.

Model ini ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu;

  • Manufaktur mountain grey Magno
  • Patagonia red metallic

Di bahagian dalam pula, ia dilengkapi sistem MBUX terkini, dua skrin 10.25-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, serta menawarkan MBUX Interior Assistant, sistem navigasi AR MBUX dan MBUX Navigation Premium.

Kelengkapan lain turut disertakan adalah seperti tempat duduk AMG Performance bersama pakej tempat duduk pelbagai-kontur yang dibalut dengan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut selain, dilengkapi roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance.

Perincian lain termasuklah port pengecas USB dan port tambahan USB-C, pengecas tanpa wayar Qi, sistem audio surround Burmester 710 watt 12-pembesar suara, paparan head-up, lampu ambien 64-warna serta pakej Light and Sight.

Secara mekanikal, model ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter, berupaya menghasilkan 421hp dan 500Nm, membolehkannya memecut sepantas 4.3 saat dari 0-100 km/j.

Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi klac berkembar automatik DCT lapan kelajuan AMG Speedshift, dan kuasa disalurkan ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda 4Matic+.

Bagi ciri keselamatan dan bantuan pemandu, SUV ini menerima kelengkapan Pakej Bantuan Pemanduan, bantuan jarak aktif Distronic, bantuan titik buta aktif, bantuan kekal lorong aktif, bantuan brek aktif dan bantuan amaran keluar, serta beg udara untuk bahagian belakang.

Untuk harga, Mercedes-AMG GLA45S 4Matic+ 2024 kini boleh dimiliki pada tanda harga bermula RM539,888.

GALERI:

Google ads
Back to top button