
TERKINI: APRILIA RS 457 LANCAR DI MALAYSIA SUKU KETIGA TAHUN INI – RM3X,XXX
Sebelu ini, kami telah pun melaporkan bahawa Aprilia RS 457 akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini.
Berdasarkan info terbaru diperolehi, kami dimaklumkan bahawa motosikal ‘sportsbike’ itu akan dilancarkan antara bulan Julai dan Ogos oleh Didi Group yang merupakan pengedar rasmi jenama Itali itu di Malaysia.

Atas kertas, Aprilia RS 457 dikuasakan enjin dua silinder (parallel-twin) 457cc yang berupaya menjana 47hp dan 43.5Nm. Aspek yang cukup mengagumkan adalah nisbah kuasa kepada berat ekoran hanya 158kg.
Aprilia RS 457 juga tidak ketinggalan dari aspek elektronik yang merangkumi sistem Ride-by-Wire yang menawarkan tiga mod enjin yang mengawal aliran kuasa, tork dan ‘traction control’.

Dibangunkan sepenuhnya di Noale, Itali, Aprilia menyifatkan RS 457 sebagai pengisi jurang antara RS 125 dan RS 660 sekaligus menyempurnakan barisan keluarga RS termasuk RSV4 dan jentera MotoGP RS-GP.
Selain itu, RS 457 ini juga datang dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu nyalaan siang (DRL). Juga tidak ketinggalan, panel meter TFT 5-inci.

Pakej suspensi pula terdiri daripada fork 41mm depan dengan jarak pergerakan 120mm dan monoshock belakang yang dipadankan bersama ‘swingarm’ keluli yang menawarkan jarak pergerakan 130mm.
Sistem brek pula terdiri daripada brek ByBre 4-pot dengan cakera 320mm depan dan 220mm belakang. ABS dwi-saluran pula memastikan operasi brek lebih baik dalam pelbagai keadaan jalan.

Lebih menarik, Aprilia turut melengkapkan RS 457 dengan fungsi ‘quickshifter’ (atas/bawah) sebagai aksesori tambahan.
Dalam pada itu, sumber terdekat memberitahu Aprilia RS 457 ini akan ditawarkan pada harga sekitar RM3X,XXX.