Pandu Uji

VOLVO C40, SUV KOMPAK ELEKTRIK DENGAN REKAAN COUPE. 450KM UNTUK SEKALI CAJ

Sewaktu Volvo XC40 dilancarkan pada awal tahun 2022 dulu, sebanyak 400 unit telah dibawa masuk secara CKD dan dipasang di fasiliti pemasangan Volvo Shah Alam. Dengan tawaran harga sekitar RM 268,000 sebelum SST, ia merupakan satu tawaran harga yang cukup menarik dan berbaloi.

Dilengkapi dengan 2 motor elektrik bagi menjana sekitar 404 kuasa kuda dan 660Nm tork, semua unit habis dijual dalam masa 3 bulan sahaja. Ya kalau anda mengatakan harga yang ditawarkan adalah mahal, ini bermakna kereta elektrik dari Sweden ini bukan untuk anda

Berbeza dengan jenama EV lain yang dibawa masuk secara recondition atau dipasang siap, XC40 dibawa masuk, dipasang di Malaysia dan disokong oleh rangkaian pusat servis yang meluas. Menyedari kehendak pasaran yang mahukan EV dari sebuah jenama mewah, Volvo membawa masuk pula model C40 Recharge Twin.

Dari segi arkitektur, cesi yang digunakan oleh C40 sama sahaja dengan cesi yang digunakan oleh XC40 termasuklah dengan menggunakan rekaan bateri 78kWh yang sama. Namun perbezaan utama ialah dari segi rekaan bumbung dimana C40 dihasilkan dengan bumbung ala-ala sebuah coupe dan kelihatan sangat sporti berbanding dengan XC40 Recharge

Dengan rekaan bumbung yang lebih rendah sebanyak 70mm, C40 menjadi lebih aerodinamik berbanding dengan XC40 menjadikan jarak perjalanan bertambah kepada 450km daripada 438km untuk XC40 untuk sekali caj penuh walaupun menggunakan bateri yang sama

Dari segi rekaan depan, ia adalah hampir sama sepenuhnya dengan XC40 terutama rekaan lampu depan LED adaptif, lampu kabus dan juga jeriji depan yang bertutup. Selain tidak lagi memerlukan aliran udara yang banyak seperti enjin pembakaran dalam, jeriji bertutup ini juga menempatkan banyak sistem elektronik bagi Advance Driving Assistance iaitu Pro Pilot

Jarak antara roda bagi C40 kekal sama iaitu 2702mm, dipasang dengan sport rim double spoke black diamond cut dan dibalut dengan tayar Pirelli Elektrik bersaiz 19 inci. Secara keseluruhan panjang C40 ialah 4431mm dan lebar 1863mm

Di bahagian belakang elemen yang menarik boleh diperhatikan ialah penggunaan roof spoiler dengan rekaan yang hampir sama seperti Lamborghini Urus dan disudahkan dengan satu lagi spoiler di bahagian ekor kereta.

Disebabkan rekaan tepi yang berbeza, C40 juga menggunakan rekaan lampu belakang yang berbeza dan jauh lebih menarik berbanding dengan XC40. Rekaan sloping roof ini menjadikan ruang kargo C40 terpaksa dikorbankan sedikit menjadi 413 liter sahaja berbanding dengan 460 liter bagi XC40.

Pintu ruang kargo diberikan kuasa elektrik dan boleh dibuka dengan menggunakan kaki. Jika kusyen bahagian belakang dilipat, pintu ruang kargo akan menjadi 1380 liter, cukup besar dan luas bagi membawa barangan (memang tak akan dibuat oleh pemilik).

Di bahagian belakang, walaupun menggnakan rekaan sloping roof tapi ruang kepala tidak berkurang dengan ketara. Jika anda mempunyai ketinggian 1.7 meter, anda masih lagi selesa untuk perjalanan jarak jauh

Tema rekaan C40 pula menggunakan tema alam sekitar bermula dengan pencahayaan semulajadi. Atas alasan ini bahagian bumbung dipasang dengan kaca tapi sayangnya ia tidak mempunyai ciri elektrokromatik.

Dengan kedudukan Malaysia di garisan khatulistiwa, memang terasa terlebih cerah ruang dalaman C40 terutama ketika waktu tengahari meskipun cermin ini telah dipasang filem penapis. Bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida, balutan kulit digantikan dengan material lain yang seakan kulit dan terasa mewah seperti kulit.

Corak pada papan pemuka dan panel pintu dihasilkan dalam bentuk gunung-ganang dan hutan di Sweeden. Bahagian balutan fabrik pula dibuat dengan menggunakan fabrik kitar semula. Malah tema ringkas ini juga diteruskan dengan tombol gear yang dikosongkan, dimana kebiasaannya tombol ini dihasilkan dengan menggunakan kristal.

Secara jujurnya penulis memang sukakan rekaan yang ringkas dan masih sama seperti rekaan sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalam. Anda langsung tidak merasa kekok bila mula memandu C40. Roda stering juga memiliki diameter yang cukup sedap digenggam, terasa kemas dan solid.

Manakala penulis dengan ketinggian 1.6 meter terasa mudah untuk mencari kedudukan pemanduan yang paling ideal dan ergonomik untuk perjalanan jarak jauh. Antara elemen yang sangat dihargai oleh penulis ialah sistem multimedia yang menggunakan Android Automotive with Google Built-In.

Sistem navigasi menggunakan Google Map lengkap dengan pengiraan baki bateri apabila sampai ke destinasi dan pengiraan adakah baki bateri mencukupi untuk pulang ke destinasi asal. Sistem ini memang menghapuskan terus fenomena range anxiety atau kerisauan tidak sampai ke destinasi disebabkan jarak perjalanan dan baki bateri.

Bukan itu sahaja, peta yang disediakan juga akan mencadangkan kepada anda lokasi untuk mengecas di sepanjang perjalanan. Jadi anda boleh merancang perjalanan dengan mudah. Berikut ialah pemerhatian penulis berkenaan dengan pengalaman pemanduan yang ditawarkan

1. Pecutan yang dihasilkan oleh C40 memang brutal habis, kalau anda tidak biasa dengan 660Nm tork seawal 0 RPM, jangan benam kaki anda pada pedal minyak. Tekan dengan lembut dan santai. Pecutan dibuat dalam masa 4.7 saat, kurang 0.06 saat sahaja di belakang supra.

2. Walaupun diberikan 404 kuasa kuda, tapi halaju maksima dihadkan pada 180km/jam atas faktor keselamatan. Selepas mencapai 190km/jam, kuasa bateri akan disekat dan halaju akan terbantut. Dengan kelajuan 90-100km/jam, bunyi yang didengari dalam kabin hanyalah sekitar 59dB sahaja yang terhasil daripada derapan bunyi tayar

3. Tayar yang digunakan oleh C40 ialah Pirelli PZero Elektric, yang bukan sahaja senyap malah membekalkan cengakaman yang sangat bagus walaupun ketika jalan basah. Tayar ini tidak pernah “berkokok” meminta ampun bila pedal ditekan dengan agresif walaupun ketika memulakan perjalanan dari keadaan statik

4. Secara ideal bateri ini memberikan jarak pemanduan sekitar 450km untuk pengecasan penuh, namun dengan pemanduan sekitar 90-110km/jam jarak sebenar adalah sekitar 420km. Manakala penggunaan tenaga adalah sekitar 17.8kW/100km atau 5.6km bagi setiap 1kWh tenaga yang digunakan

5. Sebenarnya ada 2 cara memandu C40, samaada anda memandu secara santai jika anda tidak pasti dimana stesen untuk mengecas apabila tiba di destinasi. Satu lagi cara ialah memandu dengan biasa dan agresif yang akan menyebabkan anda tersenyum puas apabila memandu di laluan lurus

6. Ini kerana dengan berat sekitar 2600kg, momentum yang dijana oleh C40 sangat besar dan menggangu dinamik kenderaan terutama di selekoh. Olengan cesi yang terhasil menyebabkan anda bergelut dan berebut stering dengan C40 jika dipandu laju. Jadi sewaktu selekoh, langkah terbaik ialah dengan mengawal halaju kereta mengikut kadar yang sesuai

Perhatikan corak lampu di sebelah kanan tombol pintu, manakala speaker Harmon Kardon berada di sebelah kiri

7. Dengan pemanduan lebih berhemah, kadangkala anda akan rasa mudah mengantuk, maka sistem bunyi Harman Kardon Premium 600watt patut dipuji kerana kualiti bunyi yang dihasilkan memang mantap, semantap Pak Abu. Bunyi yang dihasilkan adalah jelas, bass yang berdentum tanpa panel pintu bergegar dan noise yang minima

8. Peluang ini digunakan oleh penulis untuk menguji pengecaj baru yang dipasang oleh Petronas Gentari Mercedes di stesen Petronas terpilih. Anda hanya perlu menggunakan aplikasi Setel sahaja dengan syarat baki akaun Setel anda memiliki baki minima RM 100.

Dengan sistem pengecasan pantas 120kW (60kW bagi setiap pistol), maka pengecasan dari 40 ke 80% hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja. Caj yang masuk adalah sekitar 30.14kW dan penulis dikenakan caj RM 30.14. Ya kadar yang diberikan adalah munasabah, RM 1 bagi setiap 1kWh

9. Semasa pandu uji, penulis menggunakan beberapa kaedah pengecasan seperti Granny Charger dengan plug 3 pin (paling lambat dengan sekitar 10 min bagi setiap 1% bateri), 3.7kW di ChargeEv (2% naik dalam masa 5 minit), 22kWh CCS ( masuk sebanyak 10kW), dan juga DC Fast Charger selama 30 minit (30kW)

Untuk pengecasan pantas, penulis hanya mengecas sehingga 80% sahaja sebelum proses pengecasan di rumah. Untuk nota pembaca pengecasan pantas hanya sesuai dilakukan untuk perjalanan jarak jauh sahaja dimana kita memerlukan masa yang singkat untuk mengecas dan pengecasan pantas bukanlah kaedah pengecasan yang terbaik

10. Masalah kerisauan mengenai jarak perjalanan sudah tidak lagi relevan pada hari ini kerana kebanyakan pusat rehat dan rawat ada menyediakan stesen pengecas termasuklah stesen minyak Petronas, Shell, Caltex dan juga TNB Electron

Apa yang menjadi kerisauan ialah stesen pengecas tersebut rosak dan dibawah penyelenggaraan. Anda hanya perlu memuat turun aplikasi Jom Charge, ChargeEV, Setel dan Go TO-U untuk mencari pusat pengecas berdekatan dengan anda

Secara jujurnya walaupun Volvo C40 ini lebih mahal RM 10,000 pada harga RM 288,000 penulis akan beli hari ini juga kalau ada rezeki dan duit “sekelepuk”. Ya dengan harga di bawah RM 300,000 anda akan mendapat sebuah SUV coupe yang seksi, ada jenama, ada pusat servis, teknologi elektrik, 100,000km servis percuma, 8 tahun jaminan dan 5 tahun road assistance

Memang sangat berbaloi kalau dibeli.

Google ads
Back to top button