INILAH SUBARU BRZ GENERASI KEDUA – BUNTA FUJIWARA MESTI MINAT NI
Subaru BRZ generasi pertama merupakan sebuah kereta sport pacuan belakang yang ringan dan kompak tapi sayangnya kurang popular jika dibandingkan dengan Toyota GT86 di negara kita.
Sudah berada dalam pasaran selama lapan tahun tetapi kelihatan merendah diri mungkin kerana ramai peminat Subaru sendiri yang memilih WRX yang lebih popular dan Forester ataupun XV bagi yang sudah berkeluarga. BRZ sebenarnya sebuah kereta yang menyeronokkan untuk dipandu dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Justeru itu, Subaru kini telah menyiapkan BRZ generasi kedua dan yang menariknya ia masih mengekalkan resepi yang sama tapi semestinya dengan ciri-ciri yang dipertingkatkan.
Mula-mula sekali mesti persoalan tentang enjin. Lebih power tak? Mestilah boh, enjin Subaru FA24 flat-four BRZ baharu ini mampu menghamburkan 228 hp kuasa maksima dengan tork tertinggi 250 Nm. Maknanya ia mempunyai tambahan 23 hp kuasa berbanding sebelumnya dan tork yang juga lebih baik pada seawall 3,700 rpm. Terima kasih kepada penggunaan enjin dengan sesaran yang lebih besar, 2.4L.
Mungkin kuasa ini tidak sehebat Subaru Impreza WRX replika perlumbaan tetapi harus diingat yang ini merupakan model kembar Toyota 86. Mustahil Toyota akan memberikannya lebih kuasa berbanding Supra baharu mereka yang mempunyai 255 hp kuasa. Takkan adik lagi kuat dari abang kot? Ingat ni drama petang-petang ke?
Walaupun regulasi semakin ketat Subaru masih mampu menghasilkan BRZ ini dengan berat 1277 kg. Masih dikira ringan walaupun bertambah sedikit dari model terdahulu.
Terima kasih kepada Toyota juga kereta ini masih mempunyai dimensi yang kompak walaupun seinci panjang dari model asal tetapi mempunyai kelegaan bumi yang setengah inci lebih rendah. Hasilnya ialah sebuah model sport kompak dengan nisbah kuasa-kepada-berat yang lebih baik dari Supra 4-selinder.
Ukuran lebarnya masih sama tetapi dimensi treknya adalah lebih besar walaupun Subaru masih merahsiakannya. Ia dibekalkan dengan mod Sport terbaru yang akan menggerakkan pendikit secara automatik sewaktu tukaran gear menurun dan masih mempunyai pilihan gear manual 6-kelajuan.
Suspensi dikekalkan dengan penggunaan struts di hadapan dan double wishbone di belakang. Subaru juga mendakwa casis baharu pada BRZ ini berjaya meningkatkan rigidity ataupun keteguhan kepada 60 peratus untuk kawalan dan respon pemanduan yang lebih baik.
Bahagian dalaman lebih berorientasikan pemandu dengan penambahan skrin sesentuh bersaiz besar sebab banyak komplen dari pemilik model sebelumnya. Sudah nak layan Tiktok kot? Sistem VSC kini mempunyai 5 tetapan dan telah dilaras agar tidak diaktifkan terlalu awal. Nak padamkan terus pun boleh kalau terasa jiwa Bunta Fujiwara meresap masuk ke dalam badan anda.
Rekaan luaran juga kini jauh berbeza dan bagi kami kelihatan lebih sporty dengan sudut-sudut tajam telah dikurangkan. Subaru juga mendakwa bahagian spoiler dan sudut-sudut bukaan sisi berfungsi sepenuhnya dalam meningkatkan tahap aerodinamik. Ia dibekalkan dengan rim bersaiz 17 inci untuk model standard dan 18 inci untuk versi Limited.
Lawa pulak nampak BRZ ni? Tak sabar pulak nak try ni.