Buletin

CROSSOVER PROTON ARIZ ACTIVE 2021. LANCAR TIDAK LAMA LAGI?

Kalau semalam kita berpeluang melihat foto spyshot sedan Proton Persona MC2, hari ini kami ingin berkongsi pula satu lagi model Proton yang didakwa bakal dilancarkan tidak lama lagi, Iriz Active. 

Sedia maklum bahawa Iriz Active ialah Iriz versi crossover yang menerima banyak penambahbaikan berbanding model sebelum ini. 

Memetik laporan Wapcar, foto yang diperoleh kali ini lebih jelas dan menyeluruh. Seperti yang boleh dilihat, jentera berkenaan menerima bampar rekaan baru. Bahagian hadapan dipasang dengan lampu LED, sepasang lampu nyalaan siang, logo Proton berbentuk bulat, dan kemasan perak pada gril. 

Sebagai sebuah crossover, tidak sah jika Ariz Active tidak disertakan dengan roof rail dan arca roda tebal berwarna hitam. Malangnya, arca roda itu membuatkan rim bersaiz 16 inci dua tona itu kelihatan agak kecil dan tidak seimbang dari segi perkadaran keseluruhannya.  

Dari segi dalaman, perubahan paling ketara  pastinya penggunaan skrin infohibur terapung dan pendingin hawa dengan butang kawalan digital. Ruang tersebut juga menerima kemasan berwarna merah pada papan pemuka dan konsol tengah. 

Setakat ini, masih belum ada perincian mengenai rangkaian kuasa yang akan digunakan oleh Iriz Active. Iriz sedia ada menggunakan khidmat enjin aspirasi biasa bersesaran 1.3 dan 1.6 liter berkuasa 95PS dan 109PS. Enjin itu kemudian dipadankan bersama kotak gear manual enam kelajuan atau CVT. 

Google ads
Back to top button