Buletin

ISTREAM SUPERLIGHT MAMPU KURANGKAN BERAT BADAN KENDERAAN SEHINGGA 50%

Firma reka bentuk dan kejuruteraan terkemuka dunia, Gordon Murray Design telah mendedahkan versi terkini teknologi pengilangan automotif iStream Superlight yang merevolusikan cara kereta dihasilkan.

Menggabungkan kerangka aluminium yang kukuh dengan panel komposit gentian karbon termaju, teknologi iStream Superlight dilihat membawakan teknologi serta binaan jentera Formula 1 ke dalam produksi kereta massa.

Inovasi itu bukan sahaja mampu mengurangkan berat sehingga 50 peratus berbanding badan besi tempaan, malah boleh menawarkan fleksbiliti platform yang terbaik.

Justeru, platform utama boleh disesuaikan dengan setiap segmen kenderaan daripada kereta sports hinggalah kenderaan komersial. Ini dapat mengurangkan kos pengeluar kerana tidak perlu menghasilkan chasis yang berbeza.

Selain ringan, iStrem Superlight juga tahan karat dan tegar menerusi penggunaan iPanel karbon.

Gordon Murray Design turut memperkenalkan inovasi tempat duduk yang menggunakan material, teknologi dan teknik sama.

Berbanding tempat duduk biasa, ia 30 peratus lebih ringan dan boleh direka untuk disesuaikan dengan semua jenis kenderaan penumpang.

Teknologi iStream Superlight merupakan hasil penyelidikan bersama yang sebahagiannya dibiayai oleh pihak Innovate UK. Diketuai oleh Gordon Murray Design, konsortium itu turut melibatkan Bentley Motor Company, Brunel University London, Constellium dan Innoval Technology. 

Google ads
Back to top button