
YAMAHA MOTIV
Pada acara Tokyo Motor Show 2013 yang berlangsung di Tokyo Big Sight baru-baru ini, Yamaha Motor Company (Yamaha) mengujakan pengunjung apabila mengetengahkan model konsep yang dikenali sebagai MOTIV.
MOTIV dikatakan sebagai jawapan daripada Yamaha terhadap permintaan penggunaan yang kian meningkat terhadap kereta kecil dan cekap bahan api. Jentera tersebut dibina berdasarkan kepada pengalaman dan keupayaan teknologi Yamaha dalam membangunkan kenderaan beroda dua, tiga dan empat.
MOTIV diinspirasikan daripada reka bentuk motosikal dan teknologi tercanggih Yamaha. Reka bentuknya dihasilkan oleh pihak Gordon Murray Design yang menggunakan teknologi pengilangan revolusionari, iStream®. Untuk makluman, Yamaha dan Gordon Murray Design sebelum ini pernah bekerjasama dalam sukan Formula 1.
Sistem pengilangan iStream® menggunakan teknologi komposit Formula 1 yang menawarkan fleksibiliti pengilangan yang selamat dan mesra alam. Selain mampu menghasilkan kenderaan yang ringan dan dinamik.
Reka bentuk iStream® tertumpu kepada satu kerangka besi yang terdiri daripada panel-panel monocoque komposit yang membentuk sel yang tegar, ringan dan selamat. MOTIV dipasang dengan sistem suspensi bebas untuk pengendalian yang mantap. Ia dijana oleh rangkaian kuasa elektrik termaju.
Tidak dapat dinafikan bahawa Yamaha memiliki warisan yang kaya dalam penghasilan produk gaya hidup berkualiti tinggi. Justeru, MOTIV dilihat sebagai pemula kepada kenderaan mobiliti urban dan menetapkan satu standard baharu dalam segmen kereta kompak.
[hr]Galeri
























