Buletin

ISU BREK CHERY OMODA 5 ROSAK, CHERY MALAYSIA JALANKAN SIASATAN, PEMERIKSAAN PUSPAKOM

Susulan aduan masalah brek pada Chery OMODA 5 yang tular 6 April lalu, Chery Auto Malaysia hari ini memberikan kemas kini kepada pelanggan dan orang ramai mengenai isu tersebut. 

Menurutnya, pelanggan Chery OMODA 5 itu telah diberi kemas kini oleh pasukan teknikal berkemahiran tinggi ketika menjalankan siasatan berhubung dakwaan kenderaannya mempunyai brek yang rosak. 

Selain itu, kenderaan itu juga dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan menyeluruh bagi penilaian yang saksama.

Di Puspakom, pemeriksaan 10 mata dilakukan untuk memastikan optimum prestasi brek.

Semua pemeriksaan yang dijalankan oleh kedua-dua pasukan Chery Auto Malaysia dan Puspakom mengesahkan bahawa kenderaan tersebut sememangnya selamat, dan sistem brek adalah memuaskan seperti ditunjukkan dalam keputusan ujian Puspakom.

“Pelanggan telah dimaklumkan dan pasukan kami juga menerangkan mengenai hal tersebut kepada pelanggan,” kata Chery Malaysia dalam satu kenyataan.

“Kami juga memberikannya laporan komprehensif yang memperincikan penemuan semua pemeriksaan kami.

“Kumpulan Chery, termasuk Chery Auto Malaysia, mengutamakan keselamatan di atas segalanya.”

Tambahnya lagi, semua produk Chery yang diedarkan di lebih 80 negara memenuhi piawaian tertinggi sebelum penghantaran ke pelanggan, mencerminkan komitmen Chery terhadap keselamatan serta kepuasan.

Untuk rekod, Chery OMODA 5 telah diperkenalkan secara global pada April 2023, dijual lebih 130,000 unit (tidak termasuk China) sehingga Mac 2024.

Di Malaysia, Chery OMODA 5 telah dianugerahkan Editor’s Choice Best Mid-Size Crossover/SUV oleh The Star’s Carsifu, u, Best 5-seater SUV dari Carlist Malaysia serta menerima Outstanding Warranty Award di Malaysia International Moto Expo 2023.

Google ads
Back to top button