
KIA K3 2024 DIPERKENAL DI MEXICO, MODEL ARAS MULA GANTI KIA RIO
Di sesetengah pasaran, Kia Forte dikenali sebagai K3, Forte K3 atau Cerato dan juga Cerato Forte. Apa pun namanya, model itu menggantikan Spectra.
Terbaru Kia memperkenalkan K3 baharu di Mexico City yang diletakkan di dalam segmen sedan sub kompak.
K3 membuktikan bahawa kenderaan aras mula juga boleh memberikan pengalaman yang baik seperti model dalam kategori lebih tinggi.

Dari situ, K3 baharu bukan pengganti Forte dan dalam barisan produk Kia di Mexico, Rio Sedan dan Hatchback dijadikan model aras mula dan begitu juga di Amerika Syarikat.
Kesimpulan yang boleh dibuat ialah K3 baharu menggantikan Rio generasi keempat yang dikeluarkan sejak Disember 2016.
K3 baharu dibekalkan enjin 1.6 liter yang menghasilkan 123 ps dan dipadan bersama transmisi manual enam kelajuan atau automatik.

K3 GT-Line yang lebih sporti digerakkan enjin 2.0 liter dengan kuasa 152 ps, transmisi automatik enam kelajuan dan dilengkapi tuil penukar gear. Kia juga bakal menawarkan enjin 1.4 liter untuk pasaran luar.
Bagi memenuhi standard tertinggi perlindungan penumpang, K3 menggunakan struktur badan yang diperkukuh dan turut mempertingkat pengalaman pemanduan.
Tahap gegaran dan tebatan bunyi juga boleh dibandingkan dengan model dalam kelas lebih tinggi.

Kia turut merekabentuk semula sistem suspensi bagi memberi keseimbangan yang baik di antara keselesaan dan pemanduan.
Dari segi reka bentuk, Kia menonjolkan K3 mengikut gayaan fastback dan bahagian depan tampil menyerlah dengan rekaan lampu utama dan lampu nyalaan siang.
Jeriji Hidung Harimau yang merupakan identiti utama Kia diperbaharui supaya lebih menonjol dan selari dengan perkakasan lain.

K3 GT-Line seperti dalam artikel ini agresif dengan bukaan bampar yang besar dan bahagian belakang nampak sofistikated.
Dari sisi jelas kelihatan bentuk bumbung fastback dan permukaan badan termasuk garis bahu dibuat lembut. K3 GT-Line menggunakan rim 17 inci dan dipasang ekzos dua muncung.
Dari segi dimensi, K3 berukuran 4,545 milimeter (mm) panjang, 1,765mm lebar, 1,475mm tinggi dan jarak roda 2,670mm. Kapasiti bagasi pula memang luas dengan ruang sebanyak 544 liter.

Bahagian dalam K3 tampil ringkas dan moden melalui skrin meter dan maklumat hibur yang digabungkan dalam bentuk melintang. Reka bentuk stereng diilhamkan dari model elektrik EV6.
Kia menawarkan skrin sentuh dengan saiz sehingga 10.25 inci dan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem multimedia juga boleh dihubungkan dengan dua peranti melalui Bluetooth.
Turut dilengkapi dua slot USB Jenis C untuk penumpang depan dan belakang. Bahagian dalam juga meriah dengan 64 pilihan warna lampu suasana.

Satu lagi yang bermanfaat ialah sistem kawalan suhu dua zon automatik dan penumpang diberi saluran udara khas untuk keselesaan.
Dari segi keselamatan asas, K3 dilengkapi enam beg udara, sistem brek ABS dan program penstabilan elektronik ESC.
Bergantung kepada varian, Kia menawarkan pakej ADAS seperti Pengelakan Pelanggaran Berdepan (FCA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA) dan Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA).

Turut terkandung, Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA) dan Amaran Perhatian Pemanduan (DAW).
K3 dikeluarkan di Nuevo Leon, Mexico dan bakal ditawarkan di beberapa pasaran terpilih bermula suku keempat 2023.

BACA: KIA PICANTO 2023, 1.0L DAN 1.2L, 5MT DAN AMT, SPORTY DENGAN GT-LINE
BACA: KIA EV6 GT, KERETA ELEKTRIK MENANG WORLD PERFORMANCE CAR 2023!
BACA: KIA SORENTO 2.5 AWD, 177 KUASA KUDA & 253NM TORK.
BACA: TIADA LAGI KIA STINGER DI UK, GANTI DENGAN EV6 GT YANG LAGI BERKUASA!
















