
PERODUA AKAN GUNA IDEA PESERTA ACSDC UNTUK SEDAN BAHARU ATAU MODEL GANTIAN BEZZA
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn BHd (PERODUA) bakal menggunakan idea dan kreativiti peserta Asian Compact Sedan Design Challenge (ACSDC) 2023 dalam membangunkan model sedan kompaknya pada masa depan.
“Kita akan dapat banyak kreativiti daripada pereka profesional atau penuntut universiti yang menyertai ACSDC. Pertandingan ini melibatkan peserta dari Indonesia, Thailand, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Singapure, Myanmar, Filipina, Kemboja, Jepun dan Korea.
Matlamat utama pertandingan ini dibuka kepada negara-negara berkenaan bagi tujuan perkongsian idea dan identiti terutama dalam aspek budaya antara negara-negara Asia lain yang menyertai pertandingan ini.
“Mereka pasti akan menampilkan pelbagai kreativiti untuk menghasilkan reka bentuk kereta yang dapat memenuhi keperluan pelanggan di rantau Asia.
“Jadi, PERODUA akan menggunakan idea mereka untuk membangunkan sama ada model baharu Bezza atau sedan kompak serba baharu yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah di Asia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad selepas majlis pra pelancaran ACSDC di Cyberjaya.

Ini merupakan kerjasama yang julung-julung kali diadakan di antara PERODUA dan MRM yang melihat ACSDC mampu menjadikan Malaysia sebagai hab atau pusat reka bentuk kenderaan di Asia.
Lapan peserta akhir akan disenarai pendek dan membentangkan reka bentuk yang dihasilkan masing-masing. PERODUA kemudian akan membuat penilaian sebelum reka bentuk ini dihasilkan menjadi rangka penuh.
ACSDC dianjurkan oleh MRM dengan kerjasama PERODUA dan SIRIM dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000.
ACSDC merupakan satu pertandingan reka bentuk hasil inisiatif MRM dan PERODUA dalam usaha memperkasakan industri yang sangat signifikan kepada negara. Ia membabitkan sektor pembuatan reka bentuk automotif yang menjadi industri terpenting dan memberi sumbangan besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Objektif utama pertandingan itu diadakan bagi menggalakkan budaya kreatif dan inovasi berkualiti tinggi dalam kalangan pereka. Selain memastikan sumbangan bernas daripada pihak awam diterima pakai dalam proses reka bentuk industri khususnya automotif.
Pertandingan terbabit juga dapat menghasilkan reka bentuk yang bersesuaian dan menepati kehendak PERODUA sebagai salah sebuah syarikat pengeluar kereta nasional.
ACSDC dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori profesional dan kategori pelajar institusi pengajian tinggi.
Dibahagikan kepada dua kategori, pemenang pertama kategori profesional akan menerima hadiah RM20,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM15,000 dan RM10,000.
Bagi kategori pelajar universiti pula, pemenang tempat pertama akan membawa pulang RM18,000, kedua (RM13,000) dan ketiga (RM8,000), manakala dua pemenang saguhati membawa pulang masing-masing RM4,500.







