
ISUZU D-MAX FACELIFT 2023. DASHCAM DEPAN BELAKANG, WARNA BAHARU, PENGECAS TANPA WAYAR, BERMULA RM95K
Barisan Isuzu D-Max telah diberikan beberapa kemaskini bagi tahun 2023 yang membolehkan trak pikap itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah trak pilihan ramai.
Antara perubahan utama ialah pengenalan warna baharu bagi varian flagship X-Terrain dan Premium iaitu warna kelabu (Islay Gray Mica). Kedua-dua varian itu turut ditawarkan dengan dua warna putih mutiara (Dolomite White Pearl) yang lebih menarik berbanding warna lama Silky Pearl White.
Satu lagi warna baharu ialah biru metalik (Biarritz Blue Metallic) yang menggantikan Sapphire Blue, ditawarkan hanya untuk varian Automatic Premium, Auto Plus dan Automatic Standard.
Penampilan trak pikap baharu itu diserlahkan lagi dengan rekaan gril, rim dan kemasan badan yang lebih sporty.

D-MAX X-TERRAIN
Varian X-Terrain mendapat perubahan berupa tempat duduk rekaan baharu dengan kemasan kontras Cafe Brown.
Ia juga turut dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien, pad pengecasan tanpa wayar, tambahan slot USB-C. Tidak ketinggalan, perakam video digital dengan kamera hadapan 1440p bersama modul ADAS, kamera belakang mampu merakam video 1080p.
Video boleh disimpan di dalam kad memori sedia ada atau dimuat turun ke telefon menggunakan aplikasi.

Khusus untuk varian 4×4, Isuzu D-Max kini dilengkapi komponen differential lock kawalan elektronik bagi menawarkan tahap cengkaman lebih baik yang diperlukan ketika memandu di laluan off-road.
Di ruang kabin, tempat duduk menerima sentuhan rekaan baharu dan disudahi dengan warna hitam bagi sebahagian besar barisan variannya. Bagi varian X-Terrain, tempat duduknya hadir dengan warna kontras Cafe Brown.
Ciri baharu lain termasuklah lampu ambien di bahagian kaki. Selain memudahkan pengguna untuk naik dan turun dari trak, ia juga merupakan satu sentuhan menarik bagi sebuah trak pikap seperti D-Max.
Untuk lebih kemudahan, varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus kini dilengkapi pengecas tanpa wayar dengan output 15W. Dua varian teratas juga menerima ciri tambahan slot USB-C bagi pengecasan pantas.

Isuzu D-Max varian Single Cab pula mendapat kemaskini kemasukan tanpa kunci dan soket kuasa 12V.
Varian 3.0 liter Automatic Premium menerima tetapan suspensi yang diperbaharui untuk menampung lebih beban, naik dari 580 kg kepada 775kg. Pertambahan sebanyak 195kg itu adalah untuk memenuhi keperluan pengguna di Sabah dan Sarawak.
Dari segi kuasa, Isuzu D-Max 2023 masih lagi menggunakan enjin diesel turbo 1.9 liter (RZ4E-TC) berkuasa 150 PS pada 3,600rpm dan tork 350 Nm @ 1,800-2,600rpm. Enjin diesel turbo 3.0 liter (4JJ3-TCX) pula berkuasa 190PS pada 3,600rpm dan tork 450Nm pada 1600-2,600rpm.

Harga rangkaian model D-MAX adalah seperti berikut:
- Isuzu D-Max 3.0L 4×4 X-Terrain – RM150,938
- Isuzu D-Max 3.0L 4×4 AT Premium – RM135,638
- Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Premium – RM129,149
- Isuzu D-Max 1.9L 4×4 AT Standard – RM111,499
- Isuzu D-Max 1.9L 4×4 MT Standard – RM104,099
- Isuzu D-Max 1.9L 4×2 Auto Plus – RM105,499
- Isuzu D-Max 3.0L 4×4 MT Single Cab – RM101,888
- Isuzu D-Max 1.9L 4×4 MT Single Cab – RM94,949
Maklumat lanjut tentang D-Max baru ini, layari pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.
- BACA: UNTUNG JADI DUTA ISUZU, CARL FOGARTY TERIMA D-MAX ARCTIC TRUCKS AT35 BAHARU!
- BACA: ISUZU D-MAX X-TERRAIN 2022. WARNA HITAM/PUTIH BAHARU, KAMERA 360, BERMULA RM147K
- BACA: 9 PERKARA YANG TAK RAMAI TAHU PASAL ISUZU D-MAX
- BACA: JUALAN ISUZU D-MAX NAIK 100% DI MALAYSIA. TERIMA LEBIH 1,200 TEMPAHAN SEBULAN
GALERI




















