Buletin

JUALAN ISUZU D-MAX NAIK 100% DI MALAYSIA. TERIMA LEBIH 1,200 TEMPAHAN SEBULAN

Tempahan Isuzu D-Max serba baru di Malaysia melonjak sebanyak 100% sejak diperkenalkan pada April lalu. Ini mencerminkan fenomena global yang menyaksikan kenaikan ketara permintaan terhadap trak pikap terbaru yang sarat dengan penambahbaikan.

Purata tempahan yang diterima kini lebih 1,200 unit sebulan, melonjak berbanding purata bulanan sebelum ini yang hanya 500 unit. Perkembangan sama turut dapat dilihat di pasaran lain seperti Australia, New Zealand dan Thailand.

“Fenomena D-Max yang melanda beberapa pasaran adalah sesuatu yang membanggakan. Dengan rekaan menarik, penambahan ciri baharu dan reputasi Isuzu nyata meyakinkan pelanggan agar beralih ataupun menaik taraf kepada model D-Max terbaru ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki.

Menggabungkan nilai terbaik dan pelbagai kelengkapan termaju dalam trak pikap, varian 1.9-liter Premium (Auto) menjadi pilihan utama oleh hampir 36 peratus pembeli. Menawarkan kapasiti enjin paling kecil dalam pasaran dan mampu memberi prestasi memberangsangkan, model 1.9-liter Premium sangat popular di Malaysia. 

Ini kerana ramai yang ingin memanfaatkan kadar cukai jalan yang lebih rendah. 61 peratus jualannya datang dari Semenanjung. Ia telah mengubah nisbah jualan 60/40 yang sebelum ini bahagian besar biasanya disumbang oleh pasaran Malaysia Timur.

Model flagship terbaru X-Terrain yang dikuasakan oleh enjin 3.0 liter bersama pelbagai penambahbaikan juga menjadi pilihan pembeli di seluruh negara dengan mewakili 17 peratus jualan keseluruhan. Walaupun dengan cukai jalan lebih mahal, lebih separuh daripada jualan X-Terrain datang dari Semenanjung. 

Pelanggan ingin memanfaatkan kelebihan yang ada padanya seperti Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan ciri keselesaan, kehalusan serta kabin intuitif, rekaan sporty dan menonjol serta pengendalian yang cekap baik di atas jalan biasa atau offroad.

Isuzu D-Max menawarkan pilihan untuk memenuhi segmen gaya hidup di pasaran tempatan. Sebanyak 81 peratus pembeli menyatakan mereka menggunakan trak pikap bagi tujuan kerja dan santai.  

Mak lanjut, sila layari laman web pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/.

Google ads
Back to top button