Artikel Pilihan

LAMBORGHINI LANCARKAN SAMBUTAN ULANG TAHUN KE 60 DENGAN BERGAYA

Lamborghini berusia hampir 60 tahun dan ia akan disambut dengan gilang gemilang di seluruh dunia. Kalau kakitangan kerajaan di Malaysia memang nak masuk pencen wajib dah tapi Lambo kelihatan semakin bergaya pada usia 60 tahun.

Jenama terkenal Itali ini diasaskan oleh Feruccio Lamborghini pada 6 Mei 1963 dengan satu tekad iaitu untuk menewaskan Ferrari dalam gelanggang mereka sendiri. Semua kaki kereta mesti tahu tentang pertelingkahan antara Encil Lamborghini dan Encik Ferrari tentang masalah klac kereta keluaran Ferrari yang dimiliki oleh Lamborghini. Selepas perselisihan tersebut, Lamborghini segera bertindak untuk mengeluarkan supercar beliau sendiri.

Selepas setahun, model pertama mereka, 350 GT diperkenalkan dan Lamborghini mula dikenali ramai. Namun kemunculan Miura pada tahun 1966 mula membuka mata banyak pihak. Ia dinobatkan sebagai supercar pertama di dunia dan disifatkan sebagai kereta paling cantik di dunia (pada masa tu pilihan tak banyak sangat kot?).

Jadi macam mana harijadi jenama pengeluar supercar terunggul ini bakal disambut? Semestinya dengan pelbagai acara peringkat global yang bakal diadakan di seluruh dunia.

Sambutan sebenarnya sudah pun bermula sejak awal tahun dengan proses naik taraf muzium Lamborghini di Sant’ Agata. Ia menempatkan pameran yang bertajuk “The Future Began in 1963”.

Sambutan di Jepun akan diadakan pada 23 Februari ini di litar Suzuka. Ia merupakan acara antarabangsa yang pertama dengan ribuan pemilik dan peminat Lambo bakal berkumpul untuk meraikan legasi Lamborghini.

Di UK pula, hampir 300 pemilik Lambo bakal memeriahkan acara yang bakal diadakan di litar Silverstone. Lebih banyak model Lambo bakal muncul pada acara ini berbanding acara sebelumnya yang menyaksikan perkumpulan Lamborghini UK yang didominasi oleh ratusan model Huracan dan Urus.

Acara seterusnya bakal diadakan di negara tuan rumah, Italy dengan perarakan 60-tahun. Ia akan berakhir di tengah kota Bologna dan orang ramai boleh turut sama memeriahkannya sambil menjamu mata dengan melihat jentera-jentera hebat ini.

Bukan itu sahaja, terdapat juga acara khusus untuk peminat dan pemilik di Amerika Syarikat dan China. Harap-harap yang datang to Lambo betul la kan, jangan yang copy ori.

Satu acara yang dinamakan Lamborghini Festival bakal diadakan di Rome dan disifatkan satu acara terbesar. Acara akan dilangsungkan di Litar Vallelunga dan terbuka untuk kesemua peminat Lambo.

Acara Grand Final Super Trofeo Lamborghini turut akan diadakan di Litar Vallelunga. Lamborghini memang cukup terkenal di seluruh dunia merentasi 24 buah negara. Banyak lagi acara individu bakal dilangsungkan cuma di Malaysia mungkin yang hadir ialah tokey-tokey dan founder-founder kosmetik timbang kati. Sabar je lah.

Google ads
Back to top button