
ISUZU D-MAX LOW RIDE 4X2 BAHARU DIPERKENALKAN – JANA 150PS, HARGA BERMULA RM91K
Isuzu hari ini secara rasmi memperkenalkan trak pikap Isuzu D-Max Double Cab 1.9-liter 4×2 Manual Low Ride yang baharu.
Isuzu D-Max Low Ride 4×2 baharu ini menampilkan fungsi dan kecekapan sebagai keutamaannya, sekaligus menjadi sebuah trak pikap mampu milik dalam pasaran pada ketika ini.
Tarikan utamanya ialah ruang muatan barangan di kedudukan lebih rendah dengan jarak 78cm dari tanah, iaitu 5 peratus lebih rendah berbanding model High Ride biasa dengan muatan beban.
Selain urusan muat naik dan pemunggahan barangan yang lebih senang, capaian di bahagian bukaan ruangnya juga lebih baik, memudahkan petugas untuk mengambil barang dari ruang kargo serta mampu menampung beban seberat 930kg.

Dari luar, ia tampil ringkas saja, tetapi tetap hadir dengan aspek keselesaan dan keselamatan yang terjamin. Bampar depannya bergaya menerusi penyudah warna badan Splash White agar ia tampil dengan imej kontemporari.
Turut dihadirkan di ruang bampar berkenaan ialah lampu kabus yang juga lampu nyalaan siang, lampu utama halogen, lengkap dengan fungsi Follow-Me-Home serta dipadankan bersama rim aloi 16-inci dan saiz tayar 215/70 R16.
Untuk kemudahan, cermin sisinya merupakan kendalian kuasa, sementara empat- tingkapnya juga dikawal secara elektrik. Sistem kunci sentral pula akan diaktifkan melalui kelajuan pergerakan, dengan butang override tersedia untuk dipilih oleh pemandu.
Di bahagian dalam, ia dilengkapi kerusi balutan fabrik, stereng boleh laras, sementara panel instrumen pula terdiri daripada paparan maklumat meter serta skrin multi-info 3.5-inci.

Kelengkapan lain termasuklah pemain audio DIN tunggal yang ada mampu memainkan beberapa jenis codec muzik melalui USB dan mempunyai soket 12-volt.
Bagi memastikan keselamatan pemandu, penumpang serta barangan, Isuzu telah membangunkan D-Max generasi ketiga ini dengan piawaian keselamatan yang ketat.
D-Max Low Ride baharu ini juga tidak ketinggalan, turut dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif dan pasif yang telah menyumbang terhadap penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.

Selain itu, trak pikap ini juga menampilkan ciri keselamatan seperti:
- Sistem brek anti-kunci (ABS)
- Agihan daya brek elektronik (EBD)
- Bantuan brek (BA)
- Kawalan kestabilan elektronik (ESC)
- Sistem kawalan cengkaman (TCS)
- Bantuan mula mendaki (HSA)
- Kawalan menuruni bukit (HDC)
Dari segi kuasa, ia dikuasakan oleh nadi 1.9 liter RZ4E- TC yang menghasilkan 150PS dan 350Nm tork dari 1,800 rpm-2,600 rpm dan digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan.
Cabaran Dura Miles yang dilakukan sebelum ini membuktikan kecekapannya: dua buah D-Max Double Cab dengan enjin 1.9 liter yang sama mampu mengharungi perjalanan sejauh 2,004 km dengan hanya satu tangki bahan api sahaja.
Untuk harga pula, Isuzu D-Max Double Cab 1.9-liter 4×2 ditawarkan pada harga bermula RM91,450 dan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km untuk kesenangan pelanggan.



