
AVETA VANGUARD 250 SE: SKUTER MAXI 250CC PALING BERBALOI?
Perang skuter semakin rancak bermula 2025 dengan beberapa model baharu muncul seperti cendawan selepas hujan antaranya Zontes 368G, SYM Husky ADV 300 dan MODA Sporter S.
AVETA turut memeriahkan segmen tersebut apabila memperkenalkan Vanguard 250 SE pada 16 Januari lalu.

Skuter tersebut terus mencuri perhatian ramai apabila muncul dengan harga paling mampu milik dengan hanya RM14,888 bagi varian standard dan RM16,388 bagi versi SE. Sekadar perbandingan, MODA Sporter S hadir dengan harga RM17,888 sementara model popular, Yamaha XMAX dijual pada harga RM24,498.
Persoalannya, selain harga adakah Vanguard 250 SE satu pembelian berbaloi bagi yang mencari skuter maxi 250cc? Bagi menjawab persoalan itu, kami senarai empat aspek utama yang perlu diketengahkan bila bercakap tentang Vanguard 250 SE.
- Enjin

Vanguard 250 SE dipacu enjin satu silinder 244.2cc yang mampu menjana 24.8hp pada 8,500rpm dan 22.5Nm pada 6,500rpm. Untuk rekod, enjin sama turut menggerakan MODA Sporter S.
Ini bermakna, Vanguard 250 SE ini lebih berkuasa berbanding model popular, XMAX 250 yang menjana 22.5hp dan 24.3Nm.
- Keselamatan

Bagi sebuah skuter maxi, Vanguard 250 SE hadir dengan ciri keselamatan terkini antaranya ‘traction control’ dan ABS dwi-saluran secara standard yang dipadankan bersama brek 4-piston depan dan 2-piston di belakang.
Sebagai bonus, varian SE turut dilengkapi dengan kamera depan (dashcam), serta TPMS (tyre pressure monitoring system) secara standard.
- Praktikal

Rata-rata skuter maxi dari jenama terkemuka mengorbankan ciri praktikal namun tidak bagi Vanguard 250 SE ini yang menawarkan tangki bahan api berkapasiti 13L. Tangki besar ini memastikan Vanguard 250 mampu menawarkan perbatuan lebih baik.
Keduanya, skuter ini datang dengan ruang letak barang yang luas dengan 23.5L selain dua poket barangan dan soket pengecas USB.
Penghadang angin depan juga boleh diselaraskan secara manual sekaligus menawarkan tahap keselesaan yang lebih baik.
- Harga

Bagi sebuah skuter maxi 250cc yang dijual pada harga bawah RM17,000 sememangnya pembeli akan mendapat ciri yang ekstra berbanding jenama lain yang hadir dengan harga lebih tinggi.
Selain itu, AVETA juga membuktikan dengan harga ditawarkan pengguna mempunyai pilihan yang lebih luas dalam membuat keputusan dan paling penting mampu milik.
Walaupun AVETA merupakan jenama baharu namun jenama itu bingkas mendapat tempat di hati peminat motosikal tempatan terutamanya menerusi Ranger Max 130. Tawaran terbaru menerusi Vanguard 250 SE ini pastinya akan menambat peminat skuter sekaligus memperkembang komuniti AVETA di Malaysia.
GALERI: AVETA VANGUARD 250 SE














