Artikel Pilihan

BUGATTI BUANG TEBIAT, LANCAR ENJIN V16 TANPA TURBO. BIASA ADA 4 TURBO

Sebut saja nama Bugatti maka anda akan bayangkan jentera hypercar mereka yang dikuasakan dengan enjin 16 silinder disusun dalam huruf W atau singkatannya W16. Namun berita terbaru ialah Bugatti akhirnya akan menghentikan terus enjin W16 yang turut dipasang dengan 4 unit turbo

Namun berita baiknya ialah Bugatti akan menggantikan enjin W16 quad turbo ini dengan enjin 16 silinder susunan V atau V16 pada bulan Jun 2024. Tapi apa yang peliknya ialah enjin V16 ini tidak akan menggunakan turbo, sebaliknya aspirasi normal

Semasa satu persidangan di London, Mate Rimac iaitu CEO Bugatti-Rimac mendedahkan beberapa perincian terkini berkenaan dengan enjin V16 yang terbaru mereka dan mengesahkan ia akan dibina tanpa turbo. Perkara ini agak mengejutkan memandangkan model Chiron, Veyron dan EB110 semuanya menggunakan quad turbo

Mate Rimac yang menguasai 55% saham Bugatti-Rimac menyatakan panjang keseluruhan enjin ini mencapai sehingga 1 meter panjang, hampir 406mm lebih panjang berbanding dengan enjin W16. Mate juga menyatakan walaupun tanpa turbo, enjin baru ini akan dipasang dengan sistem hibrid

Satu sumber tidak rasmi dari Jerman menyatakan yang enjin ini akan diberi sesaran sehingga 8300cc, dibangunkan bersama dengan Cosworth. Enjin V16 ini boleh dipulas sehingga 9000 RPM dan akan dipadankan dengan 3 motor elektrik bagi menjana sehingga 1800 kuasa kuda dalam mode hibrid.

Enjin ini pula akan menjana sehingga 1000 kuasa kuda. 2 motor elektrik akan dipasang pada roda depan manakala satu motor elektrik pada gandar belakang. Sistem ini juga akan dipadankan dengan transmisi klac berkembar 8 kelajuan. Sumber yang sama juga menyebut sistem ini akan menggunakan bateri 28.4kWh bagi membekalkan tenaga untuk mode elektrik sepenuhnya sejauh 60km

Apabila difaktorkan dengan saiz kotak gear dan enin V16, spekulasi mengatakan panjang unit trenkuasa ini akan mencecah hampir 2 meter. Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam masa 2 saat dan 0-200km/jam dibuat dalam masa 5 saat.

Model pengganti Chiron ini juga dijangka boleh memecut dari 0-300km/jam dalam masa kurang 10 saat dan 0-400km/jam dalam masa 25 saat. Model hypercar terbaru tanpa nama ini juga akan dihadkan kelajuannya pada 445km/jam

Model pengganti Chiron ini akan dihasilkan dalam 250 unit sahaja dan untuk perbandingan model veyron dihasilkan sebanyak 450 unit dan Chiron 500 unit. Model hypercar terbaru ini akan dilancarkan pada bulan May 2024 dengan penghantaran pertama dibuat pada tahun 2026 dengan harga permulaan RM 18 juta sahaja

Google ads
Back to top button