Motosikal

BUKAN CUBAAN SELINAP KELUAR PKPD, TAPI MABUK

Motosikal yang tersangkut di celah kawat duri didirikan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh sepertimana video tular disahkan tiada kaitan dengan cubaan menyelinap keluar.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 5 pagi pada Ahad itu berpunca daripada seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

Lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan mahu ke rumah rakannya dan ketika melalui jalan itu secara tidak sengaja telah melanggar kawat duri yang dipasang pihak berkuasa.

Mangsa mengaku menunggang motosikal itu seorang diri dalam keadaan mabuk dan dia juga tidak tahu bahawa kawasan tersebut telah diisytiharkan sebagai PKPD

“Sebaik pelanggaran itu, dia meninggalkan motosikalnya di situ dan berjalan kaki untuk pulang ke rumah,” A Asmadi dalam satu kenyataan.

Polis menjalankan siasatan kejadian itu sebaik menerima video berdurasi 19 saat yang tular di media sosial sejak pagi Ahad kerana ia melibatkan kerosakan atas harta kerajaan. Siasatan kemudian mendapati, mangsa mengalami luka-luka di kaki dan tangan akibat kejadian itu dan terbaring di rumahnya.

“Lelaki itu tidak tinggal dalam kawasan PKPD dan motosikal berkenaan telah dihantar oleh rakannya ke rumah. Dia dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di hospital sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Video yang tular dipercayai dirakam penduduk itu menunjukkan sebuah motosikal berwarna merah tersangkut di kawat duri dan didakwa sengaja ditinggalkan di situ kerana gagal dalam cubaan keluar dari kawasan PKPD.

PKPD dikuatkuasakan di kampung berkenaan selama 14 hari bermula 6 Jun sehingga 19 Jun ini bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button