Artikel Pilihan

JENAMA TERKENAL DAN GAGAL UJIAN KEMALANGAN

Apabila beberapa jenama luar negara yang dijual di Malaysia pada harga premium, tanggapan pertama berkenaan model tersebut ialah ia pastinya sangat selamat. Jika berlaku kemalangan jalanraya, peluang untuk anda terselamat adalah tinggi. Logiknya, semakin mahal kereta tersebut, tanggapan normal kita ialah ia semakin selamat.

Namun anda boleh tepis stigma tersebut kerana penulis akan menyenaraikan beberapa buah jenama dan model kereta yang dipasarkan di Malaysia sebenarnya tidaklah bagus sangat. Kami akan nyatakan dengan terperinci kenapa model tersebut tidak berjaya mencapai penarafan 5 bintang daripada pihak berkuasa yang menguji keselamatan dan kekuatan cesi kereta tersebut semasa kemalangan

  1. Ford Mustang 2015

Ford Mustang yang mula dipasarkan bermula dari tahun 2015 datang dengan 2 pilihan enjin samaada 2300cc EcoBoost 4 Silinder ataupun 5000cc V8. Kedua dua model telah diuji oleh Euro NCAP satu badan bebas yang menguji kereta baru dari segi tahap keselamatan. Apa yang mengejutkan ialah Mustang hanya memperolehi penarafan 2 bintang sahaja daripada 5 bintang

Patung ujian makmal menunjukkan kecederaan yang dialami pada bahagian perut, dada dan peha jika Mustang mengalami kemalangan secara berdepan dengan kereta lain. Jika Mustang dilanggar dari bahagian belakang penumpang belakang akan mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk. Ujian perlanggaran sisi pula menunjukkan kecederaan kepala yang mungkin dialami oleh penumpang belakang

Untuk model tahun 2015, tiada fungsi AEB yang ditawarkan bagi tujuan mengelak dan mengurangkan kebarangkalian kemalangan. Ford berjanji untuk memasang fungsi AEB pada model naik taraf yang merangkumi Pre Collision Assist (w Pedestrian Detection, Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking) serta Lane Keeping Aid.

Oleh itu Euro NCAP hanya memberikan penarafan 2 bintang sahaja pada model Mustang 2015. Untuk selamat dalam Mustang pastikan anda berada di tempat duduk di depan. Tempat duduk belakang hanya dikhaskan untuk pasangan yang curang ataupun kawan kawan yang lupa bayar hutang.

2. Fiat Panda 2018

Jenama dari Itali ini menerima penarafan kosong (yillek) dari Euro NCAP. Patung ujian menunjukkan pemandu mungkin mengalami cedera parah pada bahagian badan dan penumpang belakang mengalami kecederaan badan yang lebih serius. Patung ujian kanak-kanak pula menunjukkan kecederaan serius pada bahagian badan dan kepala walupun kedua-duanya menggunakan kerusi bayi dan kerusi keselamatan.

Sekiranya anda melancong ke Eropah, elakkan dari memandu kereta ini.

3. Fiat Punto 2017

Sama seperti Panda, Punto juga gagal dalam ujian kemalangan yang dinilai oleh Euro NCAP. Kecederaan yang dialami oleh patung ujian dalam Punto adalah lebih kurang sama dengan Panda. Patung ujian kanak-kanak mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan kepala. Bayangkan kalau patung tersebut digantikan dengan anak anda. Agaknya ramai janda kematian suami bila guna Fiat di Itali ni

4. Renault Kwid 2018

Jenama dari Peranchis ini juga diberi penarafan kosong bintang oleh ASEAN NCAP berikutan model ini gagal memenuhi kehendak aspek keselamatan. Kwid gagal memberikan perlindungan pada bahagian dada untuk kemalangan hadapan dan juga sisi. Jangan ingat semua jenama import bagus ya.

5. Suzuki Carry 2017

Model jenama Jepun ini merupakan kenderaan komersial seberat 1 tan dan dikuasakan oleh enjin 1600cc. Carry gagal membekalkan perlindungan pada bahagian dada untuk ujian perlanggaran depan. Ujian perlanggaran sisi pula menunjukkan ia gagal memberikan perlindungan pada bahagian kepala dan dada

6. Cherry Transcab 2017

Sama seperti Suzuki Carry, model ini merupakan lori komersial seberat 1 tan dengan enjin 1100cc. Keputusannya lebih teruk daripada Suzuki kerana ia menyebabkan kecederaan pada kedua-dua belah kaki kanan dan kiri pemandu jika berlaku kemalangan.

7. Kia Morning

Merupakan model rebadge berasal dari Kia Picanto yang dipasarkan di Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam. Model ini berbeza dengan model Kia Picanto yang dijual di Malaysia yang berjaya mendapat markah 12.67/16 dan mendapat penarafan 4 bintang. Kia Morning hanya mendapat markah 1.48/16 dan tiada bintang diberikan.

8. Hyundai i-10 2105

i-10 pernah dijual di Malaysia satu ketika dahulu dan buat masa sekarang ia dipasarkan Indonesia, Filipina, Laos dan Vietnam. Dalam ujian ASEAN NCAP i-10 hanya mendapat markah 4.4/16 dan hanya satu bintang sahaja. Namun ia masih menawarkan kelayakan 4 bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

9. Jeep Wrangler 2018

Walaupun nampak gagah perkasa di jalanraya, Wrangler bukanlah kenderaan yang boleh diharap bila berlaku kemalangan. Agensi Euro NCAP hanya memberikan satu bintang saja pada kenderaan, mungkin sebab markah kesian. Dalam kemalangan berdepan, pemandu dan penumpang akan mengalami kecederaan pada dada dan perut

Ketiadaan sistem AEB menyebabkan Euro NCAP berkeras dengan memberikan hanya satu bintang pada SUV ini.

10. Daihatsu Ayla 2015

Bagi varian tanpa beg udara SRS, Ayla hanya mendapat pengiktirafan 1 bintang sahaja dengan markah pematuhan 5.56/16. Perlindungan untuk bayi pula mendapat 2 bintang dengan skor 47% yang diberikan oleh ASEAN NCAP. Pemandu akan mendapat kecederaan kepala dan dada jika berlaku kemalangan secara berdepan. Adalah lebih baik memandu dengan memakai topi keledar.

11. BMW Z4

Bagi menemani Mustang, BMW Z4 turut berada dalam senarai agensi Euro NCAP kerana hanya memperolehi markah pematuhan 3 bintang sahaja. Walaupun memberi perlindungan yang baik pada pemandu dan penumpang, NCAP tidak memberi markah yang lebih pada Z4 kerana kegagalan BMW menyediakan sistem pencegahan kemalangan seperti brek AEB, Lane Assist System dan juga beg udara lutut

Bagi kenderaan yang mendapat markah kosong bintang untukpasaran ASEAN, kebanyakan cesi kenderaan gagal menyebarkan impak kemalangan jauh dari penumpang menyebabkan kecederaan pada badan dan kepala.

EURO NCAP pula memberi penekanan pada penggunaan sistem pencegahan kemalangan seperti brek AEB. Kegagalan menyediakan ciri ini menyebabkan kereta gagal mendapat skor yang baik. Anda silap besar jika merasakan keputusan ujian kemalangan ini adalah remeh, kerana dalam kejadian kemalangan sebenar ia boleh menentukan samaada anda terdedah pada risiko kecederaan yang tinggi ataupun selamat

Ini memaksa Mustang 2017 dilengkapkan dengan brek AEB dan mencapai skor 3 bintang ujian Euro NCAP.

Google ads
Back to top button