
TOYOTA UMUM PLATFORM TNGA-B. PELANTAR MANTAP UNTUK KERETA KOMPAK
Toyota dilapor sedang sibuk membangunkan model kompak Yaris generasi seterusnya yang dijangka diperkenalkan pada tahun 2020.
Justeru, pengeluar Jepun itu turut mendedahkan platform baharu yang akan digunakannya.

Dikenali sebagai GA-B, ia merupakan sebahagian daripada pembangunan platform TNGA yang menjadi asas kepada kebanyakan model baharu Toyota seperti Prius, Corolla, Camry dan RAV4.
Platform itu diposisikan di bawah GA-C yang digunakan oleh model C-HR dan Corolla.
Toyota memberitahu fokusnya kini adalah untuk meningkatkan prestasi pemanduan dan penampilan model kompak. Apa yang menarik ialah platform GA-B mampu menawarkan tapak roda, lebar dan tinggi yang fleksibel.

Ini bermakna platform tersebut akan dikembangkan dengan gayaan badan yang berbeza. Pasukan pereka bentuk juga menyatakan bahawa mereka diberi kebebasan untuk menghasilkan model baharu dengan rekaan tersendiri menggunakan platform berkenaan.
Teknik binaan struktur yang canggih membolehkan platform GA-B mempunyai bahagian badan yang sangat tegar. Jadi, ia boleh dimuatkan dengan susun atur suspensi berbeza, sama ada torsion beam atau multi-link.

Fokus seterusnya adalah untuk merendahkan titik graviti kenderaan. Selain memposisikan tempat duduk pemandu lebih rendah untuk pemanduan lebih mengujakan.
Walaupun tidak dinyatakan secara jelas, wujud kemungkinan platform GA-B akan dipasang dengan rangkaian kuasa hibrid atau PHEV.
Memandangkan pasaran crossover yang semakin berkembang sekarang, tidak mustahil Toyota akan membangunkan kenderaan itu menggunakan platform GA-B.