
JEPUN RANCANG HENTI JUALAN KENDERAAN PETROL,DIESEL PADA 2035
Jepun ingin menghentikan penjualan kenderaan dijana enjin petrol dan diesel dalam tempoh kira-kira 15 tahun sejajar menjadi negara bebas karbon menjelang tahun 2050.
Perdana Menteri, Yoshihide Suga mengumumkan pelan berkenaan pada minggu lalu menggesa industri automotif agar mencapai sasaran sifar karbon menjelang pertengahan tahun 2030 dengan melestarikan tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen.
Beliau berkata, pelaburan mencapai negara hijau tidak perlu dilihat sebagai membebankan tetapi peluang pertumbuhan.

Menurut laporan CBS News, strategi peta jalan (road map) Jepun merangkumi pelbagai sektor serta mengunjurkan peningkatan sebanyak 30-50 peratus terhadap permintaan tenaga elektrik.
Selain itu, pelan berkenaan turut menyeru peningkatan terhadap penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui dan kuasa nuklear.
Dalam menggalakkan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, kerajaan Jepun akan menawarkan insentif cukai dan sokongan lain.
Melalui pelan berkenaan, Suga menjangkakan pertumbuhan tahunan sebanyak 90 trillion yen (RM3.52 trillion) menjelang 2030 dan 190 trillion yen (RM7.43 trillion) menjelang 2050.

Bagaimanapun, pendekatan tersebut tidak diterima baik oleh semua pemain-pemain industri.
Bahkan, Presiden Toyota, Akio Toyoda menyelar trend kenderaan elektrik pada masa kini.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap ahli politik yang menekan untuk menghentikan kenderaan internal combustion engine (ICE).
“Apabila ahli politik di luar menyebut, ‘mari hapuskan kereta petrol’, adakah mereka faham apa yang diperkatakan?” beliau bertanya ketika satu sidang media dianjurkan Japan Automobile Manufacturers Association baru-baru ini. – carscoops