Motosikal

HONDA CBR250RR DILANCAR DI JEPUN, DARI RM33K!

Honda di Jepun mengumumkan penawaran CBR250RR dan dijadual berada di pasaran pada 18 September 2020. Tawaran terbaru ini didatangkan dengan beberapa peningkatan spesifikasi.

Satu perkara menarik mengenai CBR250RR adalah reka bentuknya yang menyerlah ala model lebih besar selain daripada spesifikasi menarik perhatian. 

Honda CBR250RR adalah tawaran premium di dalam kelasnya.

Berikut ialah ciri-ciri Honda CBR250RR 2020:

Enjin

Motosikal ini dikuasakan enjin MC51E empat lejang DOHC dua silinder sebaris bersesaran 249cc dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI dan padanan enam kelajuan.

Diameter dalaman dan strok berukuran 62.0mm x 41.3 mm manakala nisbah mampatan ialah 12.1 dan lebih tinggi berbanding versi sebelum ini.

Prestasi CBR250RR 2020 sedikit meningkat iaitu 41 PS pada 13,000 rpm dengan tork 25 Nm pada 11,000 rpm. Kapasiti tangki minyak ialah 14 liter.

Honda turut menggunakan omboh dengan bentuk baharu dan faktor kepada peningkatan nisbah mampatan.

Bagi menampung peningkatan tersebut, alur gelang omboh (piston ring groove) disadur dengan timah dan rod penyambung (connecting rod) diperkuat.

Untuk meminimumkan kehilangan geseran, paksi diameter aci pengimbang (balancer shaft axis) dikurangkan termasuk beban pegas injap (valve spring) manakala takuk/lekuk (notch) ditambah pada hujung silinder bagi mengurangkan kehilangan pengepaman (pumping loss) di dalam enjin.

Selain itu kuasa maksimum model 2020 ini dipertingkatkan melalui pengoptimuman sistem komponen kemasukan (intake) dan menukar struktur dalaman peredam (muffler).

Sistem pendikit menggunakan wayar (throttle by wire) pula memperkemaskan pergerakan enjin dengan memilih tiga jenis karakter output dalam menyesuaikan tunggangan.

Satu lagi komponen menarik ialah penggunaan bantuan cekam gelincir (assist slipper clutch) yang mengurangkan bebanan tuas klac (clutch lever) dan loncatan roda belakang semasa penurunan gear. Komponen ini dibekalkan secara standard.

Pembeli turut boleh mendapatkan penukar cepat (quick shifter) dengan tambahan kos sebanyak 25,300 yen (RM1,016).

Casis dan suspensi

CBR250RR menggunakan rangka struktur kekuda tiub keluli (steel tube truss) yang memiliki ketegaran dan keanjalan. 

Rangka itu dipadan bersama lengan ayun aluminium tidak simetri (asymmetrical) pada bahagian belakang dan suspensi Pro-link. Bahagian depan pula menggunakan suspensi jenis terbalik (inverted/USD).

Suspensi depan telah ditambah baik dengan mengurangkan geseran dan mengoptimumkan daya redaman (damping force) supaya mudah dikendalikan di kawasan bandar.

Sistem brek pula dilengkapi ABS sebagai ciri standard.

Warna

Ada empat yang ditawarkan sebagai pilihan iaitu Grand Prix Red (striped), Matt Gun Powder Black Metallic, Pearl Glare White dan Grand Prix Red. Kesemua warna dipadan bersama roda berwarna emas.

Harga

Pengguna di Jepun boleh Honda CBR250RR pada harga 854,700 yen (RM34,323) untuk warna Grand Prix Red dan 821,700 yen (RM32,998) bagi warna-warna lain.

Honda mensasarkan 4,000 unit CBR250RR jualan setahun di sana.

Tags
Google ads
Back to top button