
STESEN TUKAR BATERI. ADAKAH JADI SATU REALITI?
Kebanyakan pengguna jalan raya apabila ditanya sebab kenapa mereka tidak berminat untuk bertukar kepada kereta berkuasa elektrik ialah kebimbangan berkenaan jarak yang boleh dilalui oleh kereta elektrik mereka dan juga tempoh pengecasan bateri. Bayangkan anda mungkin mengambil masa sekitar 10 minit sahaja untuk mengisi tangki petrol, tapi untuk mengecas bateri kereta elektrik mengambil masa beberapa jam.
Walaupun Toyota sedang membangunkan bateri solid state yang mengambil masa 10 minit untuk dicas bagi perjalanan 500km, teknologi ini masih di peringkat ujian dan hanya akan dilancarkan menjelang tahun 2024. Penulis pernah terfikir, lebih baik kita bangunkan stesen penukaran bateri. Sap-sap 5 minit siap tukar bateri baru dan terus jalan.
Tettt, cakap senang la. Untuk menjadikan stesen penukaran bateri kereta elektrik ini berfungsi seperti stesen minyak konvensional, terdapat beberapa halangan yang mesti dihadapi oleh jurutera dalam membangunkan sistem ini.

1. Cabaran teknikal – proses menukar bateri bagi kereta elektrik boleh diumpamakan dengan menukar tangki petrol atau disel bagi kereta biasa. Proses yang rumit ini perlu dilakukan dengan teliti dan ia memerlukan stesen yang boleh beroperasi secara automasi. Kereta perlu diparkir di tempat yang dikhaskan, sistem automasi akan menukar bateri yang berada di bawah cesi kereta.
Infrastruktur khas perlu direka dengan kebanyakan automasi perlu berada di bawah tanah atau kereta elektrik perlu dipandu naik dari permukaan jalan untuk proses menukar bateri. Proses penyediaan infrastruktur ini sebenarnya menelan belanja yang besar selain daripada rumit.
2. Seragamkan saiz bateri – kebanyaka saiz bateri yang dibuat oleh pengeluar tidak memiliki satu standard yang seragam dari segi saiz fizikal, ketumpatan tenaga, volt dan keperluan pengecasan yang berbeza menjadikan proses menukar bateri menjadi bertambah sukar. Mesti ada satu badan bebas yang berkuasa menentukan saiz bateri yang seragam agar semua pengeluar mematuhi peraturan saiz bateri ini.
3. Kos – ini faktor terbesar dalam menjayakan idea stesen penukaran bateri. Kita memerlukan dana yang besar untuk membeli atau menyewa tanah kosong yang besar (lebih besar dari stesen minyak) dan mesti berada di lokasi yang strategik di kawasan berkepadatan tinggi. Masalahnya lokasi ini akan menyebabkan harga tanah menjadi sangat mahal

Ditambah pula dengan kos pendahuluan bagi menyediakan prasarana dan peralatan berautomasi tinggi, menjadikan kos pembangunan stesen menukar bateri sangat mahal.
4. Ruang – stesen menukar bateri ini juga memerlukan ruang yang besar untuk operator menyimpan bateri yang telah siap dicas dan juga ruang untuk mengecas bateri bagi pelanggan yang menukar bateri. Operator juga perlu memastikan terdapat stok bateri yang cukup untuk semua pelanggan melakukan proses penukaran bateri pada waktu sibuk, sebagai contoh ketika cuti sekolah dan musim perayaan.
5. Jaminan Kualiti – bateri akan sentiasa ada satu masalah, iaitu kualiti menyimpan cas akan berkurang sedikit apabila semakin banyak dicas dan digunakan. Agak sukar untuk operator menjamin kualiti bateri yang dicas di stesen miliknya dan sebagai pengguna sudah pasti kita tidak suka apabila membayar kos yang mahal untuk bateri yang sudah rosak.