Artikel Pilihan

JRM GT23 – JENTERA PERLUMBAAN GT3 YANG SAH DIGUNAKAN DI JALAN RAYA

Nissan telah bekerjasama dengan JR Motorsports (JRM) dari England selama lebih sedekad untuk menghasilkan Nissan GT-R Nismo versi perlumbaan. JRM telah memenangi perlumbaan GT1 World Driver’s Championship tahun 2011 dengan menggunakan GT-R Nismo GT1. Pada tahun 2012 mereka mula membangunkan GT-R Nismo GT3 dan sehingga kini masih lagi membekalkannya untuk pasukan-pasukan antarabangsa di serata dunia.

Jadi kali ini untuk meraikan kejayaan dan kepakaran mereka dalam menala super-coupe dari Jepun itu, mereka telah menghasilkan sebuah model GT3 yang sah digunakan di atas jalan raya dan menamakannya GT23. Kenapa GT23? Kerana hanya 23 unit sahaja akan dihasilkan untuk pasaran. Kenapa bunyi macam nama watak dalam filem Con Air eh?

Ini bermakna ia akan dilengkapi dengan enjin 3.8L V6 turbo berkembar GT3 dan bukannya 5.6L V8 seperti GT1 dan kali ini ia tidak perlu mematuhi segala sekatan FIA. GT23 dikatakan akan menjadi lebih berkuasa dengan kuasa sehingga 650 hp, 50 hp lebih tinggi berbanding kereta GT3 sebenar.

Tork maksima pula ialah sekitar 691 Nm untuk memacu jentera seberat 1.275 tan ini. Lebih menarik lagi ialah GT23 ini adalah 476 kilogram lebih ringan dari GT-R Nismo standard. 400 kilogram lebih tu tuan-tuan, nak sama dengan berat 5 orang lelaki dewasa. Tambahan pula ini sebuah jentera RWD, drift on babeh.

Boleh dikatakan hampir semua bahagian telah diubahsuai. Bahagian aero memang benda wajib contohnya gril depan dari jenis mesh kini menggantikan bumper solid lengkap dengan segala jenis splitter. Treknya dilebarkan lagi kepada 3.5 inci di depan dan 3.9 inci di belakang. Ia kemudiannya ditutuo dengan fender lebar yang siap dengan jalur-jalur aliran udara.

Bahagian belakang diberi penampilan baru dengan GT wing, diffuser dan hujung paip ekzos di bahagian tengah. Tapi walaupun dengan segala penambahan aero tersebut, GT23 ini adalah hampir sekaki lebih pendek dari GT-R asal.

JRM menyatakan yang dengan penggunaan tayar perlumbaan bersaiz 18-inci, GT23 ini mampu mengambil selekoh 2G dengan selamba. Kalau masih tak puas hati, pilih saja pakej Extreme Pack dengan keluaran kuasa maksima sehingga 760 hp, splitter bolt-on yang lebih besar di depan, GT-wing lagi besar, roll-cage FIA, pemadam api, suspensi lebih keras, anti roll-bar, centre lock wheels dan jek udara.

Para jurutera JRM juga turut menukar setup asal all-wheel-drive GT-R kepada RWD. Kedudukan enjin juga diletakkan sedikit ke belakang untuk imbangan yang lebih baik. Kotak gear 7-kelajuan asal dikeluarkan dan digantikan dengan unit 6-kelajuan sequential dengan klac 4-plet. Suspensi kini boleh laras sepenuhnya, brek ventilasi sepenuhnya dengan angkup 6-piston di depan dan 4-piston di belakang.

Bahagian dalaman pula ditogelkan ala perlumbaan sepenuhnya. Gugusan meter asal dikeluarkan dan digantikan dengan paparan digital berwarna. Roda stereng dengan butang-butang kawalan memang sepadan bahagian konsol tengah yang juga diubahsuai sepenuhnya. Akhir sekali tempat duduk perlumbaan yang semestinya memberikan sokongan yang lebih baik.

JRM akan menghasilkan setiap unit GT23 ini di ibupejabat mereka di Daventry, England. Harga bermula dengan USD498,383 (sekitar RM2.02 juta je). Kalau nak Extreme Pack tambah lagi USD78,680 (sekitar RM325k lebih kurang). Pelanggan juga boleh bekerjasama dengan jurutera mereka dalam proses kustom mengikut kehendak mereka dan unit pertama bakal diserahkan kepada pelanggan pada musim bunga 2020.

Google ads
Back to top button