
TIADA PERANCANGAN BAWA MASUK MODEL HIBRID KAWASAKI – MODENAS
Kawasaki ketika ini telah pun mula memasarkan motosikal hibrid dan elektrik sulung di pasarna global.
Pengeluar motosikal Jepun itu menawarkan dua model hibrid menerusi Z7 the Hybrid dan Ninja 7 Hybrid serta dua model elektrik, Ninja E-1 dan Z e-1.

Bagaimanapun, ketika pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan di Gurun, Kedah baru-baru ini, kami diberitahu bahawa Modenas tiada perancangan membawa masuk model hibrid dan elektrik itu ke pasaran tempatan.
Menurut Roslan, antara faktor utama adalah kekurangan fasiliti termasuk stesen pengecas serta barisan pemasangan sedia ada adalah terhad.

Ketika ini, Modenas sudah pun bertanggungjawab memasang sembilan model termasuk; Z250, Ninja 250, ZX-25R/RR, Vulcan 650, Versys 650, Z 650, Z900, Z900 RS, serta terbaru, Ninja ZX-6R.
Sebelum itu, Roslan memaklumkan bahawa pihaknya akan menambah ‘assembly line’ baharu pada lewat tahun ini atau awal tahun depan. Namun, penambahan barisan pemasangan itu bagi melibatkan motosikal 900cc ke atas sahaja.

Ini bermaka dalam tempoh terdekat belum ada persiapan bagi pemasangan motosikal hibrid dan elektrik.
Atas kertas, Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid dikuasakan enjin pembakaran dalaman (ICE) parallel-twin 451cc yang disokong dengan motor elektrik 9kW. Hasilnya, motosikal ini menawarkan 58.3hp dan boleh meningkat kepada 68.5hp jika mengaktifkan fungsi ‘e-boost’.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:
- Idle Stop Function
- Automatic Launch Position Finder
- Walk Mode
- skrin TFT berwarna
- empat mod; EV, Eco Hybrid dan Sport Hybrid.