Buletin

JUALAN Q4 2020 NAIK 30%, TOYOTA AUSTRALIA PULANGKAN SEMULA BANTUAN KERAJAAN RM55.9 JUTA

Keputusan Toyota Australia untuk memulangkan kembali bantuan kewangan sebanyak AUD$18 juta (RM55.9 juta) disifatkan sebagai sangat positif dan mendapat pujian ramai.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Toyota Australia, Matthew Callachor dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya telah menghubungi Pejabat Percukaian Australia (ATO) pada Disember 2020 untuk menguruskan pembayaran semula skim bantuan kewangan JobKeeper.

Langkah tersebut diambil sebagai usaha Toyota Australia untuk menjadi satu warga korporat yang bertanggungjawab.

Menurut Callachor, sama seperti banyak perniagaan lain, Toyota berdepan cabaran apabila pandemik COVID-19 mencetuskan krisis ekonomi dan menyebabkan banyak pengedar Toyota terpaksa ditutup.

Justeru, Toyota layak menerima bantuan JobKeeper pada pertengahan tahun 2020 daripada kerajaan apabila perolehannya jatuh sebanyak 50 peratus.

Namun pada suku keempat tahun lalu, ia berjaya mencatat jualan 66,000 unit kenderaan, 30 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

Menjelang akhir tahun 2020, Toyota menyerahkan 204,801 unit kenderaan kepada pelanggan, hanya kurang 975 unit berbanding tahun sebelumnya.

“Kami sangat bertuah kerana dapat mengharungi tempoh sukar ini lebih baik daripada orang lain. Jadi, sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah mengambil keputusan untuk memulangkan semula bayaran JobKeeper,” jelas Callachor.

Toyota Australia memohon bantuan JobKeeper untuk memastikan hampir 1,400 tenaga kerjanya tidak hilang mata pencarian.

ATO yang menjadi agensi bertanggungjawab menyelia skim JobKeeper menyatakan kebanyakan perniagaan mematuhi peraturan dengan cukup baik. Malah, ada perniagaan yang tidak menuntut bantuan walaupun mereka layak.

Google ads
Back to top button