Buletin

JUMLAH PENUMPANG AMAT RENDAH, ERL GANTUNG OPERASI MULAI SABTU HINGGA PKP TAMAT

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini mengumumkan akan menggantung semua perkhidmatan tren bermula Sabtu sepanjang tempoh lanjutan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Langkah itu diambil berikutan jumlah penumpang yang amat rendah sepanjang lapan hari lepas.

ERL dalam satu kenyataan hari ini berkata akibat pandemik COVID-19, semua penerbangan dihentikan dengan hampir semua pejabat dan perkhidmatan ditutup. Keadaan itu mengakibatkan hampir tiada perjalanan udara dan bilangan pengguna perkhidmatan ERL yang terhad.

“Syarikat telah meminta nasihat pihak berkuasa berkaitan dan memutuskan untuk menggantung sementara perkhidmatannya dalam tempoh berkenaan. ERL akan terus menyediakan perkhidmatan kepada semua penumpang sebaik sahaja PKP ditamatkan,” jelas ERL.

ERL berkata penggantungan sementara perkhidmatan ERL di Kuala Lumpur tidak jauh berbeza dengan situasi sama yang terpaksa dihadapi oleh pengendali tren lapangan terbang di banyak negara.

Misalnya City Airport Train di Vienna, Rhonexpress di Lyon, Gatwick Express di London, Gautrain di Johannesburg, dan Airport Express Line di New Delhi.

ERL memohon maaf di atas kesulitan yang terpaksa dihadapi dan menasihatkan penumpang supaya mengambil sistem pengangkutan alternatif.

Ia turut menasihatkan penumpang supaya mengemukakan sebarang tiket yang tidak digunakan untuk pembayaran balik menerusi Pertanyaan Pelanggan.

Maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari www.KLIAekspres.com, Facebook KLIA Ekspres atau hubungi Pertanyaan Pelanggan di 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat 8.30 pagi – 6.00 petang waktu tempatan).- BERNAMA

Tags
Google ads
Back to top button