Buletin

JURURAWAT SANGGUP TINGGAL DALAM KARAVAN SELAMA 9 BULAN. TAKUT IBU DIJANGKITI COVID-19

Seorang jururawat sanggup menetap berasingan di dalam sebuah karavan selama sembilan bulan bagi melindungi ibunya daripada terkena jangkitan koronavirus.

Menurut laporan Daily Mail, wanita tersebut akhirnya kembali ke rumah mereka bulan lalu selepas ibunya menerima suntikan vaksin Covid-19.

Jururawat Perkhidmatan Ke­sihatan Kebangsaan(NHS), Sarah Link dan suaminya, Gary tinggal di dalam karavan yang diparkir di laluan masuk rumah mereka di Cradley, England.

Mereka yang tinggal dalam karavan itu sejak Mac tahun lalu, berbuat demikian untuk melindungi ibu Sarah yang berumur 84 tahun daripada jangkitan virus Covid-19.

Pasangan itu membeli karavan terbabit pada harga £600 (RM3,300) Mac tahun lalu.

Sarah berkhidmat selama 17 tahun di Hospital Ratu Elizabeth di Birmingham, manakala Gary meng­u­sahakan perniagaan menjual ikan.

“Pada mulanya, kami menjangka akan tinggal di dalam karavan ini selama empat minggu atau maksimum 12 minggu.

“Masa berlalu dan selepas sembilan bulan, kami masih di sini. Ia sangat mengagumkan dan kami tidak percaya dapat melakukannya,” katanya kepada BBC.

Suami isteri itu disahkan posi­tif koronavirus pada Disember tahun lalu tetapi mereka dapat menjalani kuarantin de­ngan adanya karavan tersebut.

Mereka juga menghiasi ken­deraan itu untuk sambutan Hari Krismas dan Halloween bersama logo besar NHS.

Sarah mengaku dia menangis kerana pelbagai kesulitan hidup yang dihadapi apabila terpaksa menetap di dalam karavan itu.

Bagaimanapun, dia tidak akan teragak-agak melakukannya sekali lagi untuk melindungi ibunya. – agensi

Google ads
Back to top button