Buletin

KUANTAN DAN ROMPIN JADI PROJEK PERINTIS TAMAN KARAVAN

Daerah Kuantan dan Rompin bakal menjadi lokasi pertama bagi melaksanakan projek perintis pelancongan berkonsepkan taman karavan di negeri Pahang.

Memetik laporan Pahang Media, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ke arah itu sedang dilaksanakan dan dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, banyak proses perlu diselesaikan sebelum projek perintis pelancongan berkonsepkan taman karavan ini dapat dilaksanakan.

“Antaranya, perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan untuk membawa karavan ke negara ini.

“Usaha-usaha ke arah itu telah berjalan di mana kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa dan sebagainya. Perbincangan dan tandatangan persefahaman juga telah dibuat dengan pihak-pihak terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Pahang Media selepas menyampaikan Geran Hakmilik Skim Tanah Rakyat (STR) dan Surat Kelulusan Tanah Kelompok (Notis 5A) kepada 203 penerima di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang, Temerloh, Isnin lalu.

Berdasarkan laporan Pahang Media itu, Wan Rosdy optimis projek tersebut bakal membawa pelaburan besar ke Pahang terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimenterai baru-baru ini, pihak Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman berjanji akan membawa masuk pelaburan bernilai tidak kurang RM500 juta ke negeri ini. – Sinar Harian/Pahang Media

Google ads
Back to top button