Buletin

COVID-19: KREW PENERBANGAN CHINA DINASIHAT GUNA LAMPIN PAKAI BUANG

Ketika dunia berdepan pandemik Covid-19, syarikat penerbangan di seluruh dunia sibuk memikirkan pendekatan terbaik memastikan penumpang dan anak kapal sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Pada 25 November lalu, Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) telah mengeluarkan garis panduan khas buat industri penerbangan negara itu yang turut diawasinya.

Dokumen yang dinamakan sebagai Garis Panduan Teknikal Pencegahan dan Pengendalian Epidemik untuk Syarikat Penerbangan, Edisi Keenam, mengandungi nasihat mengenai amalan kebersihan terbaik untuk dilakukan ketika berada di dalam pesawat dan di lapangan terbang.

Melalui garis panduan berkenaan, pelbagai cadangan diusulkan termasuk pemakaian alat perlindungan diri (PPE), pelitup muka, sarung tangan, gogel, pelitup kasut jenis pakai buang dan sebagainya.

Garis panduan itu turut menyebut, β€œia adalah digalakkan supaya krew penerbangan memakai lampin pakai buang dan mengelakkan daripada menggunakan tandas tanpa tujuan khas bagi mengelakkan risiko jangkitan.”

Walaupun saranan itu agak dramatik, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa tandas di dalam pesawat merupakan tempat paling banyak kuman atau kotor di dalam kapal terbang.

Pada Ogos lalu, seorang wanita yang melakukan perjalanan dari Itali ke Korea Selatan dijangkiti Covid-19.

Menurut laporan, sepanjang destinasinya itu, dia hanya singgah untuk ke tandas dan itu merupakan satu-satunya ketika dia tidak memakai pelitup muka jenis N95.

Berikutan itu, pihak terlibat mendapati wanita itu berkemungkinan dijangkiti sewaktu berada di bilik air pesawat berkenaan. –agensi

Google ads
Back to top button