Buletin

JPJ PAHANG SITA 17 KENDERAAN DIPANDU WARGA ASING, KELUAR 74 NOTIS SAMAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang menyita 17 kenderaan digunakan warga asing dalam Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan sekitar Balok di sini, Rabu lalu.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, turut ditahan 17 warga asing terdiri lapan warga Bangladesh dan sembilan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, rata-rata mereka tinggal di sekitar Balok di sini dalam tempoh empat bulan hingga 18 tahun dan bekerja dalam pelbagai sektor termasuk perniagaan, pembersihan, pembinaan dan perindustrian.

“Kenderaan yang disita termasuk 15 motosikal, sebuah motosikal roda tiga dan sebuah kereta.

Kamarul Iskandar berkata, dalam operasi bermula jam 4.30 petang hingga 8 malam dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota itu, sebanyak 45 kenderaan dipandu PeWA telah diperiksa dan 17 daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam operasi tersebut, 74 notis saman telah dikeluarkan melibatkan 50 notis saman JPJ(P)22 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

“Susulan itu juga, tindakan undang-undang juga akan dikenakan kepada pemilik berdaftar yang membenarkan PeWA menggunakan kenderaan mereka tanpa lesen memandu, lesen kenderaan motor tamat tempoh serta tiada insurans,” ujarnya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button