,
Buletin

KEDAI GUNTING RAMBUT DAN CERMIN MATA DILARANG BEROPERASI SEPANJANG PKP

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa operasi kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. 

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakob dalam sidang media hariannya di Putrajaya sebentar tadi. 

“Kerajaan sentiasa mendengar pandangan rakyat. Kerajaan juga telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pakar tertentu, badan bukan kerajaan (NGO) mengenai perkara seperti ini.

“Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat keputusan operasi kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP. Saya kira, pengumuman ini menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat,” tegas Ismail Sabri. 

Sejak beberapa hari lalu, timbul isu kewajaran kedai gunting rambut dibuka untuk memenuhi keperluan rakyat menggunting rambut. Walaupun keputusan memberi kelonggaran itu dibuat selepas mendapat maklum balas daripada rakyat sendiri, namun ramai yang tidak bersetuju premis itu dibuka. 

Ini kerana jika kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi, amalan penjarakan sosial sangat sukar untuk dilaksanakan. Bimbang timbul pula kluster gunting rambut, lebih baik kita semua bersabar sekejap lagi. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri juga mengumumkan semua bentuk bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh PKP dikuatkuasa. 

Pelajar IPT diarah terus tinggal di kampus

Kerajaan juga mendengar pandangan daripada Kementerian Kesihatan dan polis, jadi telah diputuskan bahawa pelajar-pelajar yang kini berada di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta diminta terus kekal di kampus masing-masing.

“Insya Allah kebajikan serta makan minum mereka akan terus ditanggung oleh kerajaan. Jadi, saya harap tidak timbul lagi perkara yang saya sudah bangkitkan tadi. Semua keputusan ini dibuat bagi memastikan usaha memutuskan rantaian dan membendung penularan COVID-19 berjaya.

“Kita tidak mahu berlaku pergerakan besar-besaran yang tentu sahaja akan menyukarkan pamantauan pihak polis. Jika dibenarkan mungkin ia akan menjadi kluster baharu penularan COVID-19.

“Saya harap pelajar faham dengan tindakan ini kerana ia bertujuan menjaga kepentingan semua,” katanya. 

Tags
Google ads
Back to top button