Buletin

P.PINANG TAK BENARKAN KEDAI GUNTING RAMBUT BEROPERASI SEWAKTU PKP

Kerajaan Pulau Pinang telah memutuskan untuk tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi di negeri itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini diputuskan pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negara (JKNN), yang dipengerusikannya hari ini.

“Untuk sektor perkhidmatan pemotongan rambut asas yang juga diumumkan (oleh kerajaan pusat semalam), kerajaan negeri memandang serius kerana dari maklum balas yang diterima, lebih dari 95 peratus menyuarakan keprihatinan mereka.

“Malah, mesyuarat itu turut mengambil kira faktor lain seperti penjarakan sosial dan kemungkinan mewujudkan kluster baru Covid-19,” katanya pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebooknya.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan negeri mempunyai hak untuk tidak mematuhi keputusan kerajaan persekutuan, dan berharap kerajaan akan mengkaji semula perkara itu untuk keselamatan semua.

Semalam, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan beberapa sektor tambahan dan perkhidmatan terpilih untuk beroperasi secara berperingkat semasa PKP sehingga 28 April.

Sementara itu, Chow berkata, kerajaan negeri akan memanjangkan tempoh operasi penjualan input pertanian (baja / racun perosak), perkakasan, makanan dan ubat-ubatan haiwan peliharaan hingga jam 5 petang dari bermula Isnin (13 April).

“Tempoh operasi akan dilanjutkan sehingga 5 petang, di mana mereka beroperasi dari 8 pagi hingga 5 petang berbanding 8 pagi hingga 2 petang pada masa ini. Mereka masih dibenarkan beroperasi dua kali seminggu pada hari Isnin dan Khamis,” ujar Chow lagi – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button