Buletin

MAZDA BAKAL HASILKAN ENJIN 6 SELINDER SEBARIS – MAHU JADI JENAMA PREMIUM SEPERTI BMW, JAGUAR DAN MERC

Kenderaan Mazda dilihat bakal menjalani revolusi.  Ini berdasarkan kepada laporan keputusan fiskal tahunan pada Mac 2019, Mazda dijangka menghasilkan sesuatu yang sedikit luar biasa, enjin enam selinder sebaris. 

Mazda mengesahkan bahawa enjin itu akan dibangunkan bersama teknologi SKYACTIV-X dan  SKYACTIV-D (generasi kedua enjin diesel Mazda). 

Perkembangan itu bermakna Mazda akan menyertai pengeluar lain seperti Audi, BMW, Jaguar dan Mercedes-Benz dalam menghidupkan kembali enjin sebegitu.

Ia memang mengejutkan kerana sebelum ini, Ketua Jurutera Supram Tetsuya Tada menyatakan Toyota tidak mungkin akan membangunkan enjin enam selinder sebaris untuk Supra. 

Ini kerana ia memerlukan proses pembangunan yang memakan masa bertahun-tahun lamanya, sebuah kilang baharu dan menyebabkan Supra menjadi semakin mahal. Atas sebab itulah, Toyota memilih untuk mengambil enjin enam selinder sebaris daripada BMW. 

Selain enjin berkenaan, laporan itu turut menyentuh tentang pengembangkan bahasa rekaan Kodo, pengenalan  sistem mild hybrid, platform EV serta satu ‘Large Architecture’ bersama keupayaan mild hybrid dan PHEV berkuasa 48v. 

Large Architecture menjanjikan pacuan semua roda i-ACTIV dengan pacuan roda belakang mungkin ditawarkan sebagai ciri standard. Selain susun atur enjin secara longitudinal. 

Dikenali sebagai sebahagian daripada barisan produk generasi baru, ia dijangka diperkenalkan di antara tahun 2020 hingga 2025.

Sedan Mazda6 dikatakan akan menjadi menjadi model pertama dilengkapi platform pacuan roda belakang dan enjin enam selinder sebaris. Sebelum diikuti model-model lain seperti SUV CX-8 dan CX-9. 

Pastinya, perubahan ini akan mengangkat Mazda menjadi satu jenama mewah dan lebih mahal harganya. Seterusnya bersaing secara langsung dengan jenama seperti BMW dan Mercedes-Benz. 

“Kami teruja untuk menggunakan rangkaian kuasa ini ke dalam kenderaan masa depan Mazda. Ini memandangkan kami dalam usaha untuk menjadi satu jenama premium. Kami tahu ramai yang ingin tahu dengan lebih lanjut. 

“Namun begitu, maklumat mengenai model, prestasi dan pasaran akan diumumkan pada masa yang sesuai kelak,” jelas Mazda.  

Jika benar enjin ini dihasilkan, Mazda akan menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan dari Jepun yang berbuat demikian.

Google ads
Back to top button