Artikel Pilihan

KELAHIRAN SEMULA JEEP WAGONEER

Nama Jeep Wagoneer walau pun sungguh asing di pendengaran hawa telinga kita, namun di pasaran Amerika Syarikat bukanlah asing. Generasi model pertama Jeep Wagoneer ini sebenarnya telah bertapak semenjak dari tahun 1963 lagi. Model Jeep Wagoneer generasi ketiga yang dikeluarkan pada tahun 1993 tiada berpengganti lamanya.

Jeep yang kini bernaung di bawah FCA (Fiat Chrysler Automobiles) memperkenalkan semula model ikonik Wagoneer yang bakal berada di pasaran bermula tahun 2022. Sesungguhnya kelahiran semula SUV ikonik Amerika ini bakal menggamit semula memori keperkasaan model generasi sebelumnya.

Rekaan kelahiran semula model Wagoneer masih lagi tipikal gaya Amerika yang berkotak dan sedikit bersegi, mewarisi ciri yang sama seperti generasi sebelumnya. Cuma ia masih lagi kelihatan seperti sebuah model SUV yang moden dan sofistikated penampilannya.

Paling penting, penggunaan skid plate di bahagian hadapan itu bukanlah kosmetik semata-mata. Sudah tentu ia mampu berfungsi dengan baik untuk melindungi bahagian bawah enjin daripada dimasuki benda asing yang tidak sepatutnya, sewaktu tuannya ingin membawa SUV bersaiz penuh ini di laluan off-road.

Bahagian kabin pula menampilkan balutan kulit Nappa untuk tempat duduk sebagai salah satu ciri mewah, di samping 12 tetapan tempat duduk secara auto. Sebagai sebuah SUV bersaiz penuh, sudah tentu konfigurasi tempat duduk yang mampu memuatkan sehingga lapan penumpang dengan selesa menjadi kelebihan Jeep Wagoneer.

Sebenarnya ada satu ciri menarik tentang model Jeep Wagoneer. SUV berkenaan dilengkapi sistem audio daripada McIntosh yang sememangnya cukup terkenal bab-bab audio ni. Dari segi sistem hiburan, ia menggunakan skrin sentuh bersaiz 10.1 inci yang bersama ciri ketersambungan Apple Car Play, Android Auto dan Amazon Alexa.

Paling penting Jeep Wagoneer ini mempunyai tetapan pemanduan yang agak mengagumkan untuk pemanduan off-road. Ini termasuklah Auto (mengadaptasi secara auto untuk semua jenis permukaan), Sport (memberi kelebihan untuk pemanduan yang lebih meriangkan – fun to drive), Rock (sistem suspensi ditinggikan sehingga 10 inci), Snow (untuk permukaan bersalji) dan Sand/Mud (memberikan lebihan kuasa terhadap permukaan berlumpur/berpasir).

Sudah tentulah Jeep Wagoneer menggunakan sistem pacuan empat roda untuk membolehkannya melalui sebarang bentuk permukaan muka bumi tanpa masalah.

Model itu digerakkan oleh enjin V8 5.7 liter yang dipadankan dengan generasi baharu sistem hibrid eTorque. Sebenarnya, Jeep turut menawarkan varian tertinggi, Grand Wagoneer yang menggunakan enjin V8 6.4 liter. Kedua-dua enjin yang cukup berkuasa ini berupaya untuk menunda muatan/ trailer dengan berat maksimum 4,536kg.

Model model SUV dengan gaya Amerika ini barangkali tidak sesuai untuk dipandu oleh anak muda. Ia lebih kena jika pemandunya seperti Tom Hanks. Tua-tua pun masih lagi bergaya.

Google ads

B K

Back to top button