Buletin

AWEK BERKEBAYA MERAH RAKAM TUNGGANG RX-Z TAK PAKAI TOPI KELEDAR KENA SAMAN

Merakam kandungan media sosial bukanlah ‘lesen’ untuk melanggar undang-undang negara ini.

Apatah lagi, ia melibatkan rakaman mengendali kenderaan di jalan raya.

 Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata ramai yang merakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial.

Beliau menegaskan, jika melanggar undang-undang, ia akan menjadi bukti bagi pihaknya mengambil tindakan tegas kepada pelaku.

Zulkarnain berkata demikian ketika mengulas saman dikeluarkan terhadap Instafamous dari Dungun yang melanggar peraturan jalan raya ketika merakam aksi menunggang RX-Z di media sosial baru-baru ini.

Video berdurasi 14 saat itu memaparkan wanita berkenaan yang memadankan baju kebaya berwarna merah menunggang motosikal RX-Z di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun dengan tidak memakai topi keledar.

Beliau menambah, pihaknya sudah memanggil wanita berkenaan dan dia mengakui kesilapannya iaitu tidak memakai topi keledar dan gagal mempamerkan nombor pendaftaran hadapan motosikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM3,000. Kes akan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun

“JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.

“Jika kami menerima laporan bergambar atau video berkaitan kesalahan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kami akan menjalankan siasatan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan walaupun video dan bukti itu daripada media sosial peribadi, tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan.

Pihaknya mempunyai kaedah tersendiri untuk memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya di media sosial. -HM

Google ads
Back to top button