
QJMOTOR SRK 250 RD BAKAL MASUK MALAYSIA – 4-SILINDER, 40HP, BAWAH RM23K?
Lima tahun lalu, Kawasaki membuat kejutan dengan pelancaran Ninja ZX-25R di Indonesia. Pelancaran motosikal itu menandakan kembalinya sportsbike 250cc dengan unit empat silinder.
Populariti Ninja ZX-25R terus melambung sehingga ke hari ini sebagai satu-satunya motosikal segmen 250cc yang menawarkan deruman enjin 4-silinder.

Bagaimanapun, Ninja ZX-25R bakal menerima pesaing baharu dari China menerusi QJMotor SRK 250 RD tidak lama lagi. Kami difahamkan, MForce Bike Holdings selaku pengedar rasmi jenama QJMotor di Malaysia sedang pertimbang untuk memperkenalkan model tersebut disini.
Untuk rekod, SRK 250 RD ini merupakan antara tawaran terbaru QJMotor untuk pasaran global. Motosikal tersebut menawarkan 40hp dan mampu rev sehingga 15,500rpm (sama seperti Ninja ZX-25R). Tork puncak pula hadir pada 22Nm pada 12,500rpm.

Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan.
Dalam pada itu, perincian lain ditawarkan termasuk
- fork depan jenis upside/down
- cakera brek tunggal 320mm depan dan 240mm belakang
- brek Brembo M4
- tayar 110/70-17 depan
- tayar 150/60-17 belakang
- berat 176kg
- tangki 16L

Kami difahamkan SRK 250 RD ini merupakan model serba baharu yang dibangunkan QJMotor dan akan mula dipasarkan di pasaran global termasuk Malaysia sekitar penghujung tahun ini atau awal 2026.
Lebih menarik, kami difahamkan SRK 250 RD akan dijual di Malaysia pada harga bawah RM23k. Untuk perbandingan, Kawasaki (Modenas) Ninja ZX-25R dipasarkan di Malaysia pada harga RM33.9k.