Buletin

AUDI S3 2021, KENAPA SEGAK SANGAT? 310PS DAN 400NM!

Apa yang Audi buat tentang reka bentuk kenderaannya ialah terus fokus pada garisan-garisan tajam dan sudut bersegi. Audi tidak membuat sesuatu yang revolusi namun kekal berjaya menarik perhatian dan tidak membosankan.

Ini contoh terbaru, Audi S3 Saloon dan S3 Sportback yang tampil segak dan ditawarkan di United Kingdom pada Ogos 2020.

Bahagian depan seperti biasa, bukaan gril dan liang udara yang agresif ditemani lampu utama LED atau Matrix LED untuk varian S3 Vorsprung.

Bahagian tepi pula tampil sederhana, sama seperti model Audi yang lain namun corak roda yang digunakan begitu menonjol.

Walaupun bahagian kelihatan sederhana, Audi mengolah semula gayaan dengan fokus pada garisan bahu manakala permukaan badan melengkung ke dalam dan menjadikan lingkungan roda mengembang.

Ini seni yang dimainkan Audi. Bahagian belakang pula dimeriahkan dengan peresap (diffuser) besar dan hujung paip ekzos berempat (quad).

Menggerakkan kedua-dua S3 ialah enjin 2.0 TFSI berkuasa 310PS dan tork 400Nm. Daya pecutan dari 0 hingga 100 km/j memerlukan 4.8 saat manakala kelajuan maksimum ialah 249 km/j.

Enjin itu dipadan bersama transmisi tujuh kelajuan S Tronic dan tenaga disalurkan ke jalan raya melalui sistem pacuan Quattro semua roda.

Berbanding dengan A3, model S3 ini direndahkan sebanyak 15 milimeter dan selain roda 18 inci turut ditawarkan ialah roda saiz 19 inci bagi varian Vorsprung. 

Pembeli juga ditawarkan angkup brek warna merah bagi menggantikan warna hitam standard.

Pada bahagian dalaman, S3 Saloon mempunyai kapasiti simpanan bagasi sebanyak 370 liter manakala S3 Sportback pula 325 liter dan 1,145 berdasarkan kedudukan kerusi belakang.

Didatangkan standard ialah kerusi sport dengan balutan kulit Fine Nappa, modular infotainment platform (MIB 3) dan MMI Navigation Plus yang boleh memaparkan imej satelit resolusi tinggi dari Google Earth.

Berkenaan harga, Audi S3 Saloon dijual dari £38,465 (RM211,285) manakala S3 Sportback dari £37,900 (RM208,181).

BACA: INI BUKAN AUDI BIASA, INI e-tron, GUNA KUASA ELEKTRIK

BACA: CENGKAMAN QUATTRO, 40 TAHUN AWD AUDI DAN IKON DUNIA RALI

BACA: AUDI EA255 – ENJIN 5 SILINDER PALING BERKUASA DI DUNIA

Google ads
Back to top button