,
Artikel Pilihan

KENAPA ENJIN BOXER SUSAH UNTUK DIGUNAKAN PADA KERETA?

Enjin boxer ataupun lebih dikenali dengan enjin susunan piston secara melintang antara satu sama lain sangat digemari oleh Porsche dan juga Subaru. Toyota meminjam teknologi enjin ini dan digandingkan dengan sistem pancitan bahan api D4S mereka untuk dipasang pada Toyota GT 86 mereka. Ada jurutera yang memberikan takrifan enjin ini ialah enjin susunan V dengan sudut 180 darjah

Antara kelebihan menggunakan enjin konfigurasi ini ialah pergerakan mekanikal piston dan rod penyambung yang lebih harmonik (yang membatalkan momen inersia antara satu sama lain) serta pusat graviti yang lebih rendah berbanding dengan enjin 4 atau 6 silinder sebaris. Ini akan memberikan kelebihan pengendalian pada kenderaan ketika mengambil selekoh

Namun timbul persoalan yang lain, mengapa Porsche tidak menggunakan enjin boxer pada bahagian depan cesi bagi mewujudkan dengan konfigurasi FR ( enjin di depan, pacuan belakang)? Sebaliknya Porsche memilih untuk menggunakan konfigurasi MR (enjin dipasang di tengah cesi atau di belakang pemandu dan dipacu pada tayar belakang). Atau Posrche memang sengaja menggunakan konfigurasi MR untuk memegang status supercar?

Sekiranya difikirkan dengan teliti, sebuah kereta sport dengan konfigurasi FR adalah adalah satu kombinasi yang amat baik sekali di atas kertas. Enjin akan dipasang dengan rendah pada cesi bagi merendahkan lagi pusat graviti kereta dan akan menghasilkan dinamik pengendalian yang baik. Enjin yang rendah membolehkan jurureka bentuk menghasilkan bonet depan yang lebih rendah dan lebih seksi pada bahagian depan.

Rekaan enjin yang kompak membolehkan enjin dipasang di belakang gandar depan dengan mudah tanpa mengorbankan ruang kabin penumpang. Namun sebaik sahaja kita memasang enjin boxer pada cesi, perkara pertama yang akan disedari ialah walaupun enjin ini lebih rendah, ia sebenarnya lebih lebar.

Enjin yang lebar ini akan mengganggu packaging atau proses pemasangan semua komponen yang berada di ruang enjin seperti steering rack yang merupakan elemen yang penting dalam rekaan sebuah kereta apabila kedudukan enjin dan sistem transmisi telah ditentukan. Namun dengan enjin yang lebar, jurutera perlu mereka semula kedudukan sistem steering rack.

Sekiranya enjin 4 dan 6 silinder sebaris atau enjin susunan V yang digunakan, masalah kejuruteraan yang melibatkan steering rack ini tidak akan timbul. Suatu ketika dahulu Volkswagen yang merupakan pengguna tegar enjin boxer mula beralih arah dengan menggunakan enjin 4 atau 6 silinder sebaris apabila mereka mula membangunkan kereta pacuan hadapan. Anda rasa mereka ada masa untuk sakit kepala untuk masalah ini walaupun panadol ada dijual? Lebih baik ubah sahaja konfigurasi enjin

Masalah ini juga memaksa Porsche untuk membangunkan model kereta mereka yang menggunakan enjin boxer hanya dalam konfigurasi MR sahaja. Memandangkan enjin Porsche mempunyai sesaran antara 3000-4000cc dengan 6 silinder menjadikan ia agak mustahil untuk dipasang pada bahagian depan cesi bersama-sama steering rack.

Sehingga hari ini hanya barisan model Subaru dan Toyota GT86/Subaru BRZ yang masih menggunakan enjin boxer yang dipasang pada bahagian depan cesi. Malah ketua jurutera projek GT 86 Tetsuya Tada menegaskan ketika enjin boxer dipilih bagi memberikan pusat graviti yang rendah pada kereta namun ia masih tidak berbaloi dengan segala kesusahan yang dilalui oleh pasukannya ketika membangunkan GT86/BRZ

Bagi pasaran Malaysia, antara model Subaru yang boleh didapati ialah Subaru BRZ, WRX, Outback, Forester dan XV. Kesemua model ini dibekalkan dengan enjin boxer 2000 atau 2500cc. Ia boleh didapati dalam versi Natural Aspirated ataupun turbo bergantung pada model.

Tags
Google ads
Back to top button